Pergi ke kandungan

Saivisme

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Saivisme (juga dikenali sebagai Saivam atau Shaivisme) merupakan suatu mazhab utama agama Hindu. Mazhab ini mengagung-agungkan Shiva sebagai Tuhan Maha Esa. Penganut-penganut mazhab ini dikenali sebagai Saivam, Saivas atau Saivarkal.

Meskipun pada mulanya Saivisme mungkin telah wujud sebagai suatu kepercayaan dan cara pemujaan Shiva yang ringkas, lama-kelamaan ia telah berkembang dan menjadi beberapa mazhab-mazhab kecil yang berbeza. Antara mazhab-mazhab kecil ini terdapat enam mazhab yang berpengaruh. Namun, pada masa kini hanya wujud dua atau tiga mazhab yang masih berpengaruh kuat. Enam mazhab-mazhab Saivisme ialah: Kalamukha, Kapalika, Saivisme Kashmir, Pasupata, Saiva Siddhanta, dan Vira Saivisme atau Lingayat.

Kuil Kashi Vishwanath

Sejarah Awal Saivisme

[sunting | sunting sumber]

Asal-usul Saivisme sebagai sebuah agama telah hilang ditelan masa. Bukti penyembahan Shiva sememangnya wujud dalam teks-teks awal di India dan juga daripada penemuan arkeologi yang tertua.

Teks-teks Veda menyebut tentang Rudra. Dengan edaran masa, Rudra dikenalpasti sebagai Siva.

Pānini (sekitar 400 S.M.) menyebut bahawa Rudra juga dikenali sebagai Mridā, Bhava, dan Sarva (1, 49; 3, 53; 4,100).

Menurut Kalhana dalam Rājatarangani, Asoka (268-233 S.M.) melawat Kashmir dan membina sebuah kuil Siva yang dikenali sebagai Asokesvara (1, 105-107).

Kautilya pula menyarankan bahawa sebuah kuil Siva harus dibina dalam kawasan bandar (Artha Sāstra, Buku 2, Bab 4, ms.54 edisi Sāma Sāstri).

Dalam Mahābhāsya (sekitar 200 S.M.), Patanjali menyebut dengan spesifik mengenai penganut-penganut Siva (dikenali sebagai Siva-bhāgavata). (5,2,76). Teks ini juga menyebut tentang arca-arca Siva, Skanda, dan Visākhā yang dibuat dan dijual oleh orang-orang Maurya.

Kemungkinan besar, semasa Patanjali menulis Mahābhāsya ini, penyembahan Siva dalam rupa ‘linga’ masih belum bermula. Ini boleh dirumuskan daripada penemuan mohor gangsa daripada kurun pertama S.M. yang ditemui di tapak Sirkap (Taxila) oleh John Marshal. Mohor ini mempunyai muka Siva. Selain itu, lagenda 'Siva-raksita' ('dilindungi oleh Siva') dalam tulisan-tulisan Brahmi dan Kharosthi juga menyokong pendapat ini.[1]

Kalamukha

[sunting | sunting sumber]

Ini ialah suatu mazhab yang menyembah Rudra-Shiva sebagai Chandi dan Bhairava. Rudra dalam Veda ialah suatu rupa yang menggerikan. Penganut-penganut ini dinamakan Kalamukha (Kala = hitam, dan mukha=muka) kerana mereka mencorakkan muka mereka dengan warna hitam.

Menurut para sarjana Saivisme, kumpulan ini adalah suatu cabang Lakulisa (juga dieja sebagai Nakulisa) mazhab Pasupata.

Golongan Kalamukha juga dikenali sebagai Ekkoti Muni. Mereka mempunyai sedikit kaitan dengan keturunan Devavrata Muni dari Kashmir. Sekitar tahun 700-1200 Masihi, kumpulan ini amat berpengaruh di Andhra Pradesh dan Karnataka. Pusat mereka ketika itu ialah kuil Kedaresvara di Balligave (di daerah Shimoga, Karnataka) dan pekan kuil Srisaila (berhampiran Kurnool, Andhra Pradesh). Menurut suatu sumber, raja-raja Calukyan (kurun ke-11 Masihi) menyanjungi mazhab ini. Salah seorang guru mereka, Sarvesvara Saktideva, merupakan seorang pemilik 77 buah kuil-kuil. Mereka juga terkenal dengan kebijaksanaan dan displin rohani mereka.

Penganut-penganut mazhab ini telah dicemuh dan disingkir oleh masyarakat disebabkan beberapa amalan mereka yang menggerikan seperti tabiat meminum arak dalam tengkorak manusia, menyapukan badan mereka dengan abu dari tempat pembakaran mayat, kanibalisme, dan keciciran moral.

Guru-guru mazhab ini dibahagikan kepada dua kumpulan: Rasi dan Shakti.

Rajarajaguru (1370 Masihi) ialah seorang guru Kalamukha yang terkenal dan seorang yang kontemporari dengan Vidyaranya Muni (kurun ke-14 Masihi).

Ini ialah suatu mazhab Saivisme yang amat berkuasa. Mereka dipanggil sebagai Kapalika kerana mereka menggunakan sebuah kapala atau tengkorak manusia sebagai mangkuk untuk mengemis. Mereka juga memakai kalungan tengkorak manusia. Mazhab ini amat berpengaruh dan aktif daripada kurun ke-7 Masihi selama 500 tahun di Srisaila (Andhra Pradesh) dan beberapa bahagian Tamil Nadu seperti Kancipuram, Tiruvotriyur, Melpadi, dan Kodumbalur.

Mazhab ini juga mengamalkan perbuatan-perbuatan keji seperti meminum arak, memakan daging manusia dan abu, mempersenjatakan cokmar, dan hubungan seks bebas. Penganut-penganutnya menyembah Chandi dan Bhairava.

Menurut Sabara Tantra terdapat 24 orang guru, bermula daripada Adinatha dan berakhir dengan Malayarjuna.

Penganut-penganut mazhab ini juga bersifat anti-Vaishnavisme.

Saivisme Kashmir / Pratyabhijna Darsana

[sunting | sunting sumber]

Pengenalan

[sunting | sunting sumber]

Meskipun Saivisme ialah sebuah sistem falsafah-agama purba yang telah wujud di banyak bahagian India, beberapa orang sarjana dan guru-guru falsafah yang hebat dari Kashmir telah menghasilkan suatu sistem yang tersendiri. Falsafah-agama ini menjadi popular sebagai 'Saivisme Kashmir'. Namun, namanya yang teknikal dan yang lebih tepat ialah 'Pratyabhijna Darsana'.

Sumber-sumber Utama

[sunting | sunting sumber]

Teks-teks asas Saivisme Kashmir ialah kitab-kitab Āgama seperti Svacchanda, Netra dan Vijnanabhairava. Beberapa orang penulis-penulis telah menghasilkan beberapa karya baru. Antara karya-karya utama mereka ialah Sivasutras (diwahyukan kepada Vasugupta, kurun ke-9 Masihi), Spandasutra oleh Vasugupta, Spandasutravrtti oleh Kallata (pengikut utama Vasugupta), Sivadrsti oleh Somananda (kurun ke-9 Masihi) dan Isvarapratyabhijna oleh Utpala (kurun ke-9 Masihi).

Penulis yang paling hebat ialah Abhinavagupta (950-1000 Masihi). Beliau telah menghasilkan Vrtti Isvarapratyabhijna oleh Utpala dan, karya-karyanya yang bebas, Tantraloka dan Paramarthasara.

Penulis-penulis lain ialah Ksemaraja (975-1025 Masihi), Bhaskara, dan Varadaraja.

Rukun-rukun Falsafah

[sunting | sunting sumber]

Saivisme Kashmir mengemukakan 36 tattva atau prinsip utama yang menghasilkan ciptaan alam semesta ini. Prinsip-prinsip utama ini dibahagikan kepada tiga kumpulan utama: Suddhatattva, Suddhāsuddhatattva, dan Asuddhatattva.

Rukun-rukun ini hampir serupa dengan rukun-rukun dalam sistem-sistem Advaita Vedanta dan Sankhya (sila lihat Falsafah India). Namun, terdapat beberapa perbezaan asas.

Suddhatattva (Saktyanda)

[sunting | sunting sumber]

Ini ialah lima prinsip tulen iaitu Sivatattva, Saktitattva, Sadāsivatattva, Isvaratattva dan Suddhavidyātattva. Ia juga dikenali sebagai Saktyanda.

SIVATATTVA / PARASAMVIT

  • Tattva asas utama sistem ini ialah Sivatattva, secara amnya disebut sebagai Parasamvit atau kesedaran tulen yang tertinggi (sama seperti Nirguna Brahman dalan Advaita Vedanta).
  • Namun, berbeza dengan sistem Advaita Vedanta yang mempunyai dua aspek, Saguna dan Nirguna Brahman, sistem ini mempunyai lima aspek.
  • Parasamvit adalah tattva asal purba yang menyebabkan tattva-tattva lain. Parasamvit adalah abadi dan tidak berubah.

SAKTITATTVA

  • Ini adalah prathama-spandana atau produk-getaran ulung yang dihasilkan oleh Parasamvit.
  • Sifat utamanya ialah Ananda atau Nikmat Abadi.
  • Saktitattva merupakan sumber utama segala pergerakan dalam ciptaan selanjutnya dan kebangkitan 'Aham' atau 'Kesedaran-Aku'.

SADASIVATATTVA

  • Evolusi Parasamvit seterusnya ialah Sadasivatattva.
  • Dalam evolusi ini, selain kesedaran 'Aham' yang kuat, wujud kesedaran 'idam' ('ini') atau ciptaan.
  • Namun, oleh kerana keadaan kesedaran ciptaan masih tidak jelas, Sadasiva juga mungkin berasa 'aham idam', menyebabkannya mengenalpasti diri-Nya dengan ciptaan yang akan dicerminkan.

ISVARATATTVA

  • Dalam tahap keempat ini, kesedaran 'idam' (ciptaan) menjadi sama kuat dengan kesedaran 'Aham' ('Aku').

SUDDHAVIDYATATTVA

  • Ini ialah tahap kelima Parasamvit, di mana 'idam' menjadi lebih kuat.
  • Ini ialah proses permulaan ciptaan sebenarnya atau evolusi.

Suddhāsuddhatattva (Māyanda)

[sunting | sunting sumber]

Ini ialah lima prinsip yang amat tulen atau Māyanda iaitu māyā, kāla, niyati, rāga, vidyā, dan kalā.

Māya adalah kuasa Shiva yang unik dan ulung, yang menyebabkan apa yang tidak mungkin. Ia bukan suatu kuasa ilusi yang menyebabkan kejahilan seperti dalam metafizik Advaita Vedanta. Sebaliknya, Mãya adalah kuasa sebenar yang Shiva gunakan untuk menyelubungi diri-Nya, menghasilkan bheda (perbezaan), nama (nama-nama), rupa (rupa-rupa) dan sebagainya.

Māya mewujudkan 'Pancakancuka' atau lima penutup yang kelihatan menghadkan kuasa-kuasa Shiva dan menjadikannya muncul sebagai Jivatman (roh individu), yang terikat dengan kāla (masa), niyati (rukun sebab-akibat, hukum karma), rāga (keinginan dan ikatan), vidyā (ilmu yang terhad, atau avidyā, kejahilan) dan kalā (kuasa tindakan yang terhad).

Asuddhatattva (Prakrtyanda)

[sunting | sunting sumber]

Ini ialah 25 prinsip iaitu purusatattva, prakrtitattva, buddhi, ahankara, manas, lima jnanendriya, lima karmendriya, lima tanmatra, dan lima bhuta. Prinsip ini dikenali sebagai Prakrtyanda kerana ia bermula dengan Prakrti.

Prakrti ialah permulaan tiga Guna - Sattva, Rajas, dan Tamas dalam keadaan seimbang. Apabila keseimbangan ini terganggu, ia akan menghasilkan:

  • Buddhi (fakulti penaakulan)
  • Ahankara (rasa ego, rasa keindividuan dan perpisahan)
  • Manas (minda, kuasa pemikiran, perasaan, dan keinginan),
  • Jnanendriya (pancaindera iaitu mata, telinga, hidung, lidah, dan kulit atau deria sentuhan)
  • Karmendriya (lima organ tindakan iaitu pertuturan, tangan, kaki dan dua organ pembuangan)
  • Tanmatra (lima unsur alam iaitu tanah, air, api, udara dan angkasa).

Prthivyanda - Kombinasi tanmatra menghasilkan lima mahabhuta atau elemen-elemen kasar. Ciptaan seterusya lahir daripada mahabhuta. Kumpulan ini dikenali sebagai 'Prthivyanda'.

Kesimpulan

[sunting | sunting sumber]

Perkara-perkara penting yang perlu diperhatikan dalam sistem Saivisme Kashmir ialah:

  1. Srsti atau ciptaan ialah evolusi Sakti atau kuasa Shiva.
  2. Roh individu yang berada dalam ikatan ialah sebenarnya, Shiva sendiri.
  3. Prinsip kosmik asas ialah 36 dan bukannya 25 seperti dalam sistem Sankhya.

Dunia yang dicipta ialah sebenarnya suatu evolusi Shiva. Maka, ciptaan tidak berbeza daripada Shiva. Namun, ciptaan juga nampaknya mempunyai identitinya yang tersendiri. Maka, sistem ini menerima teori bhedabheda (perbezaan dan ketidak-bezaan) antara Tuhan (Shiva) dan ciptaan-Nya.

Begitu juga, Jivatman (roh Individu) yang dinamakan sebagai 'Pasu' (roh yang terikat) adalah Shiva sendiri. Dengan mengamalkan pratyabhijna (mengingati akan sifat sebenarnya sebagai Shiva), roh dapat melepaskan segala avarana (liputan) dan bersatu dengan Shiva. Ini adalah Mukti atau kebebasan.

Namun, mukti hanya boleh dicapai dengan berkhidmat kepada guru rohani , mendengar ajaran-ajaran Śastra (kitab suci), memikirkan tentangnya, dan mengamalkan yoga. Kebebasan muktamad hanya boleh diperolehi dengan Sivanugraha (rahmat Shiva), atau nama teknikalnya, 'Saktipata' (curahan kesaktian Shiva).

Pada hakikatnya, menurut Saivisme Kashmir, Shiva yang meliputi diri-Nya dengan Maya dan menjadi Roh Individu yang terikat. Shiva sendiri yang menyedari Diri-Nya sendiri dan mendapatkan kembali identiti asal-Nya. Maka, Svatmavismarana (lupa diri) dan Svatmapratyabhijna (peringatan diri) adalah dua keadaan dalam permainan Shiva!

Pengenalan

[sunting | sunting sumber]

Mazhab atau kultus Pasupata atau Pasupati ialah suatu mazhab purba. Kepercayaan ini dapat dibuktikan dengan beberapa penemuan berikut: Penggunaan perkataan 'Pati, 'Pasa', 'Prasada' telah disebut dalam Svetasvatara Upanishad (1.11; 6.9; 3.20), penyembahan Shiva dalam rupa Linga, amalan mengikat Sivalinga pada lengan seperti dalam candi Raja Pravarasena (428 Masihi), dan Sivalinga-Sivalinga yang ditemui di Cambodia (kini Kampuchia) dari 550 Masihi.

Kultus Pasupata adalah berasaskan kepada Saivāgama, beberapa Purana, dan beberapa Upanishad minor dari zaman selepas Veda.

Antara Āgama-Āgama yang dirujuk ialah Kamika, Ajita, Amsuman, Suprabheda, Svayambhuva, Raurava, Mrgendra, Pauskara, dan Vatula. Āgama-Āgama ini mungkin telah ditulis antara kurun pertama hingga kurun ke-14. Ianya lebih berpengaruh di India Selatan, terutamanya di Tamil Nadu. Terdapat percanggahan pendapat tentang sama ada beberapa Āgama telah dihasilkan pada asalnya dalam Bahasa Tamil dan kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Sanskrit, atau dihasilkan dalam bahasa Sanskrit terus.

Purana-Purana yang dirujuk ialah Vayu Purana, Kurma Purana, dan Siva Purana.

Sistem Pasupata hampir sama dengan sistem Dvaita Vedanta oleh Madhva (1197-1276 Masihi). Satu-satunya perbezaan yang wujud ialah Shiva telah menggantikan tempat Vishnu, dalam sistem ini.

Rukun-Rukun Utama

[sunting | sunting sumber]

Topik-topik yang dibincangkan dalam sastera Pasupata dinamakan secara teknikal sebagai Pancārthas atau Lima Subjek Asas. Topik-topik asas ini ialah karana, karya, yoga, vidhi, dan duhkhanta.

Kārana atau sebab purba adalah Shiva, yang dikenali sebagai 'Pati' (Tuan). Shiva juga dikenali sebagai Rudra, Sankara, Kala, Balavikarana, Aghora, Sarva, Sarva, Tatpurusa, Isana, Isvara, dan Brahma.

Shiva adalah anādi (tanpa permulaan atau asal-usul), avyaya (tidak boleh dihapuskan), dan punca ciptaan,pemeliharaan dan pemusnahan alam semesta. Shiva adalah menjangkaui dan meliputi alam semesta. Dia penuh kasih sayang. Simbol-Nya yang terbaik ialah Pranava atau Om.

Shiva atau Isvara adalah hanya punca efisien atau nimittakārana untuk ciptaan. Sebaliknya, dalam sistem Vedanta, Shiva adalah upādānakārana (punca material). Meskipun Roh Individu dan dunia wujud berasingan, kedua-duanya berada dalam kawalan Shiva. Shiva juga menyebabkan perubahan dalam dunia dan roh individu. Namun, sebagai 'prasadi' (yang mencurahkan rahmat), Shiva sentiasa penyayang. Itulah sebabnya, kita dapat mencapai kebebasan dengan bermeditasi ke atas-Nya.

Subjek Asas kedua ialah Kārya. Kārya di sini bukan bermaksud sebagai suatu kesan tetapi sebagai asvatantra atau bergantung. Sebaliknya, kārana adalah sesuatu yang bebas atau svatantra. Dalam konteks ini, hanya Shiva adalah bebas atau kārana. Jagat (dunia) dan jiva (roh individu) adalah kārya kerana kedua-duanya bergantung pada Shiva.

Meskipun Shiva adalah kārana, atas dorongan-Nya, Jiva juga boleh menjadi kārana dalam proses ciptaan berikutnya. Begitu juga dengan Prakrti atau Pradhāna yang bertanggungjawab untuk evolusi berterusan dunia. Oleh itu, kedua-dua ini dinamakan sebagai 'kārya-kārana'.

Evolusi dunia daripada Prakrti adalah sama seperti dalam sistem falsafah Sankhya.

Seperkara perlu diperhatikan di sini. Isvara sebagai kārana asal tidak akan dicemari oleh proses evolusi alam semesta. Sebaliknya, Prakrti sebagai kārya-kārana boleh terjejas. Contoh-contoh berikut boleh menjelaskan konsep ini. Teratai mekar apabila terkena cahaya matahari. Ketulan besi bergerak berdekatan magnet. Dalam kedua-dua keadaan ini matahari dan magnet tidak terjejas tetapi teratai dan ketulan besi terjejas. Begitu juga, Isvara tidak terjejas dengan proses evolusi dunia melalui Prakrti dan Jiva.

Dalam kalangan kārya, Jivatman (roh individu) adalah yang paling penting. Jivatman dinamakan 'Pasu' kerana ia terikat dengan 'Pasa' (ikatan) dan melihat ('pasyati') dirinya sebagai kompleks badan-minda, melupakan bahawa dia adalah roh. Sebaliknya, Shiva ialah 'Pasupati (Tuan segala 'pasu').

'Pasu' atau Jiva adalah abadi, dan mempunyai kesaktian untuk melihat ('drksakti) dan untuk bertindak ('kriyasakti').

'Pasu' dibahagikan kepada dua kumpulan bergantung kepada tahap evolusi rohani masing-masing iaitu:

  • Sanjana (mereka yang terikat pada badan, pancaindera dan minda) dan
  • Niranjana (jiwa yang bebas).

'Pasa' atau ikatan yang mengikat 'pasu' dinamakan sebagai 'mala' atau kekotoran. Terdapat tiga 'mala': anavamala, mayiyamala dan karmamala.

  • Anavamala adalah kekotoran yang menyebabkan 'Pasu' terikat dengan badan dan mengenalpasti badan sebagai dirinya yang sebenar.
  • Mayiyamala adalah ikatan yang disebabkan oleh Maya (kuasa Isvara).
  • Karmamala adalah sekatan yang disebabkan oleh karma lama.

Dengan bantuan yoga, 'Pasu' dapat membersihkan dirinya daripada semua kekotoran ini dan mencapai keadaan duhkhanta (penghapusan segala duka dan penderitaan).

Yoga diberikan maksud 'samyoga' (kesatuan) Atman ('Pasu') dan Isvara (Pasupati).

Ini merangkumi tindakan tersisih atau melepaskan diri daripada segala keselesaan dan nikmat duniawi dan melihat Isvara sebagai satu-satunya matlamat hidup. Yoga ini boleh dicapai dengan rahmat Isvara atau dengan berserah sepenuh pada-Nya.

Amalan Yama seperti ahimsa (ketidak-ganasan), brahmacharya (mengawal nafsu), satya (bercakap benar), asangraha (tidak mengumpul harta-benda), adalah sadhana-sadhana yang amat berguna untuk yoga. Begitu juga dengan Niyama iaitu akrodha (mengawal kemarahan), guruseva (khidmat pada guru), sauca (kebersihan), mitahara (pemakanan sederhana) dan jagarukata (sentiasa berhati-hati).

Ini adalah Pancartha keempat. Ia bermaksud aktiviti-aktiviti seperti bhasmasnana (meliputi badan dengan abu suci), upahara (secara sengaja melakukan sesuatu yang akan menyebabkan orang ramai menjauhi seseorang sadhaka), japa (mengulangi mantera Shiva), dan pradakshina (mengelilingi Shivalinga secara ritual).

DUHKHANTA

[sunting | sunting sumber]

Ini ialah Pancartha terakhir. Ia bermaksud kesudahan segala duka dan penderitaan, sama seperti kebebasan atau Mukti. Ini dicapai dengan menarik minda daripada segala objek duniawi dan mengarahkannya pada Pasupati. Dengan ini, 'pasu' dapat berserah sepenuhnya pada Pasupati dan hidup berhampiran-Nya (samipa prapti). Dalam mukti ini, Jiva tidak akan 'hidup bersendirian' ('Kaivalya', seperti dalam sistem Sankhya) atau penyatuan sepenuhnya ('Aikya' seperti dalam Advaita Vedanta). 'Pasu' akan berada selama-lamanya bersama Pasupati.

Menurut karya-karya Pasupata, kuasa-kuasa ajaib akan diperolehi pada tahap duhkhanta. Namum, seorang Yogi tidak digalakkan untuk memberi perhatian kepada kuasa ajaib kerana ia akan menghalangnya daripada mencapai mukti.

Saiva Siddhanta

[sunting | sunting sumber]

'Saiva Siddhanta' bermaksud doktrin Saivisme pada amnya. Namun, ia telah menjadi terma yang digunapakai untuk mengenalpasti falsafah Saivisme dari Tamil Nadu selama 1300 tahun. Ia lebih merupakan suatu agama mistik daripada suatu sistem falsafah Hindu yang teratur dan spekulatif. Agama ini berasaskan kepada karya-karya 63 orang Nayanar atau Nayanmar yang telah hidup antara kurun ke-7 hingga ke-12 Masihi.

Ayat-ayat suci Tirumurai, karya utama Saiva Siddhanta yang disenaraikan oleh Nambi Andar Nambi (1000 Masihi) adalah seperti berikut:

No. Serial Buku-buku Pengarang Tempoh
1, 2, dan 3 Tirujnana Sambandhar Kurun ke-7
4, 5, dan 6 Tirunavukkarasar Kurun ke-7
7 (amnya, dikenali sebagai Thevaram) Sundarar kurun ke-9
8 (Tiruvacakam dan Tirukkovai) Manikkavasagar kurun ke-3 atau ke-9
9 (Tiruvisaippa dan Tiruppallandu) 9 orang pengarang 900 - 1100
10 (Tirumandiram) Tirumular kurun ke-6
11 Pattinattar, Karaikkal Ammaiyar, dan lain-lain
12 (Periya Puranam) Sekkizhar Kurun ke-12

Percubaan pertama untuk menghasilkan karya Saivisme Tamil yang teratur telah dilakukan oleh Meykandar (kurun ke-13) dalam karya popularnya Sivajnanabodham, sebuah karya pendek dengan 12 aforisme. Nampaknya, karya ini merupakan suatu terjemahan Tamil daripada karya asal Sanskrit.

Karya utama lain ialah Sivajnana Sittiyar oleh Arunandi, seorang pengikut Meykandar. Karya ini dan beberapa ulasan-ulasannya masih popular.

Sivajnanabodham menyebut dan menghuraikan tiga konsep asas utama - Pati, pasu dan pasa dan memberikan sadhana untuk pasu menyedari Pati dan phala atau hasil amalan rohani yang diperolehi oleh seseorang.

Falsafah Saiva Siddhanta adalah hampir serupa dengan falsafah kultus Pasupata. Perbezaannya ialah Saiva Siddhanta menerima 36 prinsip asas (seperti Saivisme Kashmir) sementara Pasupata hanya menerima 25.

Vira Saivisme / Lingayat

[sunting | sunting sumber]

Pengenalan

[sunting | sunting sumber]

Vira Saivisme atau Agama Lingayat ialah suatu Saivisme yang berleluasa di Karnataka, India Selatan. Menurut pendapat orthodoks, agama ini ialah suatu agama purba yang berasal daripada guru-guru seperti Revanaradhya, Marularadhya, Panditaradhya, dan lain-lain. Namun, ini disangkal oleh segolongan yang lain.

Dalam zaman sejarah, Basavesvara (1186 Masihi), juga dikenali sebagai Basavanna atau Basava yang menjadi perdana menteri Raja Bijjala (yang memerintah daripada 1157 - 1167 Masihi) ialah reformis utama (kalau bukan pengasas) mazhab ini.

Mazhab ini juga telah diperkayakan oleh lebih 300 guru-guru dan orang-orang alim seperti Allama Prabhu, Cannabasavanna dan Akkamahadevi. Mereka telah memperbaharui gerakan agama dan sosial pada zaman mereka.

Dogma-Dogma Utama

[sunting | sunting sumber]

Satu ciri khas Vira Saivisme ialah kepentingan utama yang diberikan kepada Shivalinga sebagai satu-satunya simbol Tuhan Shiva. Oleh itu, mazhab ini juga dikenali sebagai 'Lingayata' (agama yang menganggap Linga sebagai asas utamanya). Seorang yang menerima Diksha dalam mazhab ini akan mendapat sebuah Shivalinga daripada guru yang bertauliah. Shivalinga tersebut mesti sentiasa dipakai pada badan seseorang agar seluruh badannya menjadi suci.

Rukun-rukun utama mazhab ini ialah:

  • Shiva ialah Tuhan Maha Esa.
  • Simbol utama Shiva ialah Linga.
  • Mantera Panchakshari, Namassivaya, adalah mantera yang paling berkuasa.
  • Kod tingahlaku yang utama ialah Pancacara dan astavarana.
  • Falsafah sistem ini ialah Sakti Visistadvaita
  • Bagi menjelaskan proses evolusi dunia ini, mazhab ini juga menerima 36 tattva atau prinsip yang diberikan oleh Shaivisme Kashmir.

Disiplin-Disiplin Praktikal

[sunting | sunting sumber]

Jiva atau Pasu adalah sama bijaknya dengan Shiva atau Pati. Tetapi disebabkan tiga kekotoran iaitu anavamala, mayiyamala, dan karmamala, kebijaksanaan Pasu telah dicemari.

Bagi menyucikan dirinya daripada tiga kekotoran, seseorang perlu mendapatkan Diksha daripada seorang guru yang bertauliah. Diksha ialah sebuah ritual yang mudah di mana guru akan menyembah Shivalinga dan kemudian, mengikat Shivalinga pada leher pengikutnya seperti seutas rantai. Biasanya, Linga akan dibubuh pada sebuah peti kecil perak. Dalam proses ini, guru akan memberikan mantera (Namassivaya) dan memindahkan kuasa rohaninya kepada pengikut.

Mazhab ini juga membenarkan golongan wanita untuk mendapat Diksha.

Seseorang yang melalui Diksha dikehendaki untuk mengamalkan lima disiplin yang dikenali sebagai Pancacara dan melindungi dirinya dengan lapan 'liputan', Astavarana yang disenaraikan oleh sistem ini.

Dengan mengamalkan pancaracara dan astavarana, seorang Lingayat akan bebas daripada kekotoran dan badannya akan menjadi suci. Maka, secara teori, orang itu tidak perlu mengamalkan Sutaka (pantang-larang) atau jasadnya tidak perlu dibakar selepas kematiannya. Oleh itu, mayat seorang Lingayat akan dikebumikan.

Pancacara atau Lima Disiplin

[sunting | sunting sumber]
  • Lingacara - Pemujaan harian Shivalinga yang diperolehi semasa upacara Diksha.
  • Sadacara - Mencari rezeki yang halal dan membantu orang-orang miskin, kafir, dan rahib-rahib perantau, '
  • Sivacara - Melayan para Lingayat sama seperti Shiva.
  • Bhrtyacara - Sentiasa rendah diri pada Shiva dan para penganut-Nya.
  • Ganacara - Menjaga agama dengan penuh berhati-hati, menentang sebarang penghinaan terhadap agama dan Tuhan seseorang dan menentang penderaan haiwan.

Astavarana atau Lapan Penutup

[sunting | sunting sumber]
  • Guru - Kepercayaan dan hormat pada guru rohani.
  • Linga - Menjaga, menyayangi dan menghormati Linga
  • Jangama - Menghormati dan berkhidmat pada golongan yogi dan rahib perantau.
  • Padodaka - Menyucikan diri dengan meminum atau merenjiskan badan dengan air yang telah digunakan untuk mencuci kaki guru rohani atau jangama.
  • Prasada - Menerima makanan yang disucikan dalam upacara sembahyang.
  • Bhasma - Memakai abu suci pada dahi atau bahagian-bahagian lain badan.
  • Rudraksha - Menggunakan kalungan rudraksha semasa Japa dan juga memakainya.
  • Mantra - Mengulangi mantera Namassivaya seperti yang diajar oleh guru rohani.

Doktrin Sakti Visiṣṭadvaita

[sunting | sunting sumber]

Sama seperti falsafah Visiṣṭadvaita Ramanuja (1017-1137 Masihi), mazhab Vira Shaivisme juga menerima falsafah Visiṣṭadvaita, meskipun ianya sedikit berlainan.

Dalam sistem Ramanuja, Brahman adalah Advaita (satu tanpa yang dua), tetapi dibataskan (visiṣṭa), disebabkan Prakrti (acit) dan Jiva (cit) wujud dalam Brahman sebagai entiti-entiti yang tidak boleh dipisahkan.

Sebaliknya, dalam Vira Shaivisme, batasan (visiṣṭa) hanya terhad pada Sakti atau kuasa Brahman, yang membantu dalam proses ciptaan, pemeliharaan dan pemusnahan.

Brahman (Tuhan) dan Sakti-Nya tidak berbeza, sama seperti bahang tidak berbeza daripada api. Brahman juga sentiasa sedar akan kuasa-Nya. Maka, di sini visiṣṭatva bermaksud hanya vimarsa atau kesedaran-diri tentang kuasa semulajadi. Oleh itu, sistem ini mendapat nama Sakti Visiṣṭadvaita.

Doktrin Ṣaṭsthala

[sunting | sunting sumber]

Dalam Vira Shaivisme, Brahman atau Shiva dikenali sebagai 'Sthala'. Tuhan ialah Sthala kerana seperti angkasa, atau ruang (=sthala), Tuhan juga tidak berbatas atau infinit.

Perkataan 'Sthala' juga secara etimologi bermaksud tempat di mana dunia muncul, berkembang, bertempat dan akhirnya, ia berlerai atau hilang.

Menurut doktrin Ṣaṭsthala Siddhanta, Shiva membahagikan diri-Nya kepada dua aspek, iaitu Linga dan Anga. Linga ialah Shiva sendiri. Anga pula ialah Jiva atau roh individu. Kedua-dua ini seterusnya berpecah tiga. Linga menjadi istalinga, pranalinga dan bhavalinga. Anga pula menjadi tyaganga, bhoganga dan yoganga.

Apabila Jiva melepaskan ikatan pada objek-objek duniawi, dia dipanggil sebagai tyaganga. Linga yang diperolehinya semasa upacara Diksha dikenali sebagai istalinga yang akan digunakannya semasa upasana atau sembahyang.

Apabila dia menjadi suci dengan melakukan upasana pada istalinga, dia akan menikmati dunia dengan rahmat Shiva. Ketika itu, dia dikatakan menjadi bhoganga dan dia mengalami pranalinga (kewujudan Shiva dalam hatinya).

Apabila dia terus maju dalam disiplin rohani, sehingga mencapai tahap kesedaran tertinggi di Sahasrara Cakra, dia dipanggil sebagai yoganga dan dia menikmati kebahagiaan tertinggi dengan mengenali dirinya sebagai Shiva yang kini dipanggil sebagai Bhavalinga.

Kesimpulan

[sunting | sunting sumber]

Vira Shaivisme ialah suatu agama purba Shaivisme. Agama ini telah diperkayakan oleh ramai golongan alim. Ia juga telah menyuarakan pembaharuan dan kesamarataan dalam masyarakat. Kepentingan diberikan kepada kerja dan perkhidmatan, bukan sahaja sebagai suatu obligasi sosial, tetapi juga sebagai sebahagian daripada perkembangan rohani seseorang. Ini menyebabkan mazhab ini menarik ramai penganut-penganut. Walaupun secara beransur-ansur, aspek pembaharuan sosial telah hilang (disebabkan amalan sistem kasta yang ketat), namun, aspek-aspek lain sistem ini sesungguhnya telah memperkayakan Hinduisme.

Bahan Lanjut

[sunting | sunting sumber]

https://raneenarendranath.blogspot.my/