Pergi ke kandungan

Budaya di Johor

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Malay Cultural Village di Johor Bahru.

Masakan tempatan

[sunting | sunting sumber]

Masakan Melayu bukan saja dimakan oleh Melayu, malah bangsa lain. Banyak makanan yang boleh dapati di Johor. Antaranya ialah lontong (ketupat yang dipotong 4 segi dicampur dengan sayuran bersama santan), otak-otak (Isi ikan campur dengan santan kelapa dan digaul dengan lada, bawang, halia, udang kering dan bahannya yang dibungkus dengan daun pisang atau kelapa dan dibakar ataupun dikukus. ) dan sebagainya.

Ghazal merupakan kesenian tradisional yang popular dewasa ini. Pada permulaannya, ini disebut sebagai ‘gamat’ yang bererti nyanyian dan beriuh rendah berasal dari Tanah Arab.

Pada abad ke-19, kerajaan Johor menjalin hubungan erat dengan kerajaan Riau-Lingga. Beberapa bangsawan Johor yang berulang-alik Riau mempelajari kesenian ini dan memperkenalkan kepada Sultan Johor pada ketika itu di Teluk Belanga, Singapura.

Perkembangan ghazal di Johor dikaitkan dengan Allhayarham Datuk Bentara Luar, Mohd. Salleh Bin Perang. Semasa membuka daerah baru, beliau turut memperkenalkannya di rumah penghulu dan hari keramaian tertentu.

Ghazal terdiri daripada Peti Harmonium, Biola, Gambus dan Tabla atau Do (Gendang). Kemudian ini ditambah dengan beberapa alat yang sesuai seperti gitar, kecapi Jepun, Keroncong dan Marakas. Setelah itu dicampurkan dengan alat muzik lain seperti ukeleli dan sebagainya. Oleh kerana terlampau mengganggu serta menghilangkan silau dan lemah lembut lagu Melayu maka alat itu dibatalkan.

Pada 2003, muzik Ghazal telah dimartabatkan oleh Datuk Sharifah Aini menerusi konsert solo beliau iaitu Konsert Simfoni Ghazal Bersama Datuk Sharifah Aini yang diiringi oleh penari-penari Warisan Johor. Beliau yang merupakan anak kelahiran Johor begitu kagum dengan keindahan dan keunikan muzik Ghazal tersebut.

Tarian kuda kepang

[sunting | sunting sumber]

Kuda kepang merupakan permainan tradisi yang digemari oleh Johor, terutamanya Jawa. Ia berupa patung anyaman yang berbentuk kuda tanpa kaki. Ia diperbuat daripada buluh anyaman atau kulit yang dicorakwarnakan supaya lebih menarik.

Lazimnya 1 kumpulan mempunyai 10~15 penari. Salah seorang bertindak sebagai ketua (dayang). Pada awal, gerak geri penari adalah atas arahan dayang yang menggunakan tali untuk mengawal. Tarian ini biasanya ditunjukkan di majlis keramaian untuk memeriahkan lagi suasana sewaktu menyambut orang kenamaan, meraikan majlis perkahwinan dan di hari-hari perayaan.

Menurut kepercayaan, ia dikuasai oleh kuasa ghaib. Lantaran itu, 1 upacara perlu dilakukan sebelum bermain. Jika gagal, sesuatu yang tidak diingini akan menimpa. Upacara ini bermula dengan istiadat memuja roh. Setelah itu, bomoh akan menjampi untuk membuka gelanggang yang biasanya berukuran 40inci dengan 60inci.

Salah satu tarian pergaulan yang utuh ialah tarian Zapin. Dari perspektif sejarah perkembangan, zapin yang menular luas mengalami pengubahsuaian dari segi ragamnya yang nyata tradisional sifatnya. Namun banyak genre zapin tradisional hanya tersebar ke daerah tentu dan satu genre zapin yang dinamik dikatakan masih terdapat di Johor.

Di Johor, zapin yang dikenali dalam 2 bentuk (Zapin Melayu & Zapin Arab) melihatkan bezanya dari unsur peradap tariannya. Pada realiti dua genre zapin itu berasal dari 1 kesenian Arab di bawah Hadramaut.

1 hal menarik mengenai Zapin Johor ialah keupayaan mewujudkan persaudaraan penari dan pemuzik serta sifat esprik decorps yang dimunculkan di kalangan mereka sekali gus mematahkan rasa malu penari-penari apabila menari di khalayak ramai.

Pakaian Tradisional

[sunting | sunting sumber]

Untuk rencana lanjutan, lihat Pakaian tradisional Johor

Baju Riau

[sunting | sunting sumber]

Baju berbelah ini seakan-akan kebaya pendek. Baju Riau juga disebut 'Engku Puteri atau Raja Hamidah' puteri pada Raja Haji iaitu Yang Dipertuan Muda Riau yang kelima dari keturunan Bugis.

Baju Belah Kebaya Panjang

[sunting | sunting sumber]

Walaupun wanita Johor terkenal dengan baju kurung, tetapi dalam acara majlis, mereka muncul juga dengan memakai kebaya, sebagai warisan daripada Kerajaan Johor-Riau.

Pola baju belah panjang ini masih bersifat ‘mengurungkan’ anggota badan. Secara tradisi potongannya labuh sehingga buku lali. Cuma bezanya ia berbelah dan berpesak di hadapan baju ini, umumnya dipakai sebagai pakaian di luar rumah atau upacara rasmi. Baju belah panjang ini terkenal di Melaka, Perak, Selangor dan Kedah-Perlis. Baju kurung belah ini kemudiannya dikenali sebagai ‘baju panjang’ dan ‘kebaya panjang’. Tradisi ini berkembang menjadi kebaya dan bertangan panjang berpesak lurus di hadapan, berkekek dan berbelah dada yang ditutup dengan kancing atau kerongsang tiga.

Baju Melayu Cekak Musang

[sunting | sunting sumber]

Baju Melayu ialah pakaian tradisional lelaki melayu. Istilah Cekak Musang ini berhubung langsung dengan pola lingkaran leher baju, tengkuk ‘cekak’ tinggi atau leher tegak empang leher. Pengertian ‘cekak musang’ merakamkan imej alami untuk leher baju yang bercekak tinggi berdiri (2.5cm) melingkari leher. Ukuran ditentukan oleh lingkaran (bulat) yang dibuat dengan ibu jari lain yang bertemu hujungnya. Baju ini mula dipakai di Johor ketika pemerintahan Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar.

Baju Teluk Belanga

[sunting | sunting sumber]

Baju ini mula di perkenalkan di Teluk Belanga, Singapura dan tersebar luas sebagai ciri khas Johor khususnya pada abad ke-19. Ia juga dikatakan sejenis pakaian lelaki yang dikatakan telah direka oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1866 untuk meraikan perpindahan ibu negeri Johor dari Teluk Belanga di Singapura ke Johor Bahru. Walau bagaimanapun istilah ini akhirnya menjadi ciri khas masyarakat Melayu hingga disebut selengkapnya ‘Baju Melayu’.

Baju Kurung

[sunting | sunting sumber]

Baju kurung dianggap popular dan dipakai oleh lelaki dan perempuan. Perbezaannya terletak pada bahagian kocek iaitu lelaki mempunyai dua kocek manakala perempuan mempunyai satu kocek serta perbezaan daripada segi pemakaian. Pengertian kurung secara tidak langsung telah membawa erti ‘mengurung atau menutup’ anggota tubuh. Cara ini menepati konsep pakaian cara Melayu setelah kedatangan Islam, sehinggalah istilah ‘kurung’ diertikan sebagai baju yang selesa dan longgar, labuh atau panjang. Sehingga disebut dengan berbagai-bagai nama misalnya ‘baju kurung bernyawa’ walaupun mempunyai pelbagai nama namun baju kurung telah menampilkan ciri-ciri tersendiri.