Spaniel biru Picardie
Nama ringkas | Bleu picard | |||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Negara asal | Perancis | |||||||
| ||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Spaniel biru Picardie[a] ialah satu baka spaniel yang berasal dari Perancis, dari kawasan di sekitar muara Sungai Somme, pada sekitar permulaan abad ke-20. Ia diturunkan daripada spaniel Picardie dan seter Inggeris, dan diperihalkan sebagai baka senyap yang memerlukan banyak senaman kerana staminanya. Ia sangat baik dengan kanak-kanak. Serupa dengan spaniel Picardie, ia mempunyai lapis bulu berwarna distingtif. Baka ini yang diiktiraf oleh hanya sebilangan persatuan kenel sangat dikenali di Perancis dan di Kanada.
Perihal
[sunting | sunting sumber]Penampilan
[sunting | sunting sumber]Spaniel biru Picardie pada purata adalah setinggi sekitar 22–24 inci (56–61 cm) pada paras kelasa dan berukuran seberat 43–45 paun (20–20 kg).[1] Lapis bulunya berwarna hitam kelabu berbintik-bintik yang membentuk cahaya warna kebiru-biruan, dengan sesetengah tompok hitam.[2][3] Lapis bulunya rata atau sedikit beralun dengan jumbai di telinga, pada tungkai, di sisi bawah, dan pada ekor.[2][3] Ia mempunyai tungkai berotot kuat.[2][3]
Ia mempunyai muncung lebar panjang dengan telinga tebal yang dilitupi bulu bak sutera yang biasanya berakhir di sekitar hujung muncung. Dadanya bersaiz sederhana yang menurun ke paras sama dengan siku. Kedua-dua sukuan hadapan dan sukuan belakang cukup berotot. Ekornya biasanya tidak melepasi keting dan biasanya lurus.[2][3]
Baka ini mempunyai banyak keserupaan dengan spaniel Picardie kerana sejarah terkini kedua-dua baka ini. Spaniel biru Picardie diperihalkan sebagai yang lebih lembut, serta jelas-jelas berbeza dari segi warna lapis bulu. Spaniel Picardie mempunyai lapis bulu perang, manakala spaniel biru Picardie mempunyai lapis bulu hitam dan kelabu, yang dibawa ke dalam baka dengan pengenalan darah seter Inggeris. Kedua-duanya serupa dalam era moden kerana persamaan rapat kedua-dua piawaian baka berlainan.[perlu rujukan]
Perangai
[sunting | sunting sumber]Spaniel biru Picardie dianggap sebagai baka senyap, tetapi ia memerlukan banyak senaman, kerana ia mempunyai paras stamina tinggi. Ia suka bermain dan merupakan baka responsif dan patuh yang bertahan dengan pendampingan manusia. Ia terutamanya baik dengan kanak-kanak.[1]
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Pada permulaan abad ke-20, kawasan di sekitar muara Sungai Somme dianggap sebagai syurga untuk pemburu yang berminat dengan unggas liar. Oleh sebab sekatan kuarantin di United Kingdom, penembak British membawa anjing mereka ke kawasan Picardie, berhampiran dengan muara Somme. Ini menyebabkan kemasukan darah seter Inggeris ke dalam populasi spaniel tempatan dan mengembangkan spaniel biru Picardie.[perlu rujukan]
Walaupun spaniel hitam dan kelabu biru pertama dicatatkan pada tahun 1875, hanya mulai tahun 1904 spaniel Picardie pertama kali ditunjukkan. Spaniel ini secara rasmi dikelaskan sebagai spaniel Perancis dan ditunjukkan dalam Eksposisi Anjing Paris. Apabila Picard Spaniel and Blue Picardy Spaniel Club dibentuk pada tahun 1907, kedua-dua baka spaniel Picardie berlainan dikategorikan.[4][sumber lebih baik diperlukan]
Di Perancis, spaniel biru Picardie diiktiraf sebagai baka terpisah pada tahun 1938.[4][sumber lebih baik diperlukan] Orang pertama yang mengimport spaniel biru Picardie ke Kanada ialah Ronald Meunier dari Saint-Julien, Quebec, pada sekitar tahun 1987, dan baka ini kemudian diiktiraf oleh Canadian Kennel Club berkuat kuasa 1 Jun 1995.[perlu rujukan]
Catatan
[sunting | sunting sumber]- ^ Jawi: سڤانيئل بيرو ڤيکردي ; Perancis: épagneul bleu de Picardie ; bahasa Inggeris: blue Picardy spaniel
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b Cunliffe, Juliette (2002). The Encyclopedia of Dog Breeds [Ensiklopedia Baka Anjing] (dalam bahasa Inggeris). Bath, United Kingdom: Parragon. m/s. 262. ISBN 9780752580180. OCLC 59182873.
- ^ a b c d "Standard FCI N° 106 EPAGNEUL BLEU DE PICARDIE" [Piawaian FCI No. 106 Spaniel Biru Picardie] (pdf) (dalam bahasa Perancis). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 10 Ogos 2023. Dicapai pada 4 Mac 2024.
- ^ a b c d "FCI-Standard N° 106 EPAGNEUL BLEU DE PICARDIE (Blue Picardy Spaniel)" [Piawaian FCI No. 106 Spaniel Biru Picardie] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Davis, Peggy. Disemak oleh Iris Borianne dan Claude Guintard. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 10 Ogos 2023. Dicapai pada 4 Mac 2024.CS1 maint: others (link)
- ^ a b "A Brief History of the Blue Picardy Spaniel" [Sejarah Ringkas Spaniel Biru Picardie]. Alex Cyrill Sporting Dogs. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Mac 2009. Dicapai pada 4 Mac 2024.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Spaniel biru Picardie |
- Kelab Spaniel Picardie, Spaniel Biru Picardie, dan Spaniel Pont-Audemer (dalam bahasa Perancis)
- Persatuan Spaniel Biru Picardie Belanda (dalam bahasa Belanda)