Siaran percuma
Siaran percuma (bahasa Inggeris: free-to-air , FTA) bermaksud siaran radio atau televisyen tanpa penyulitan yang boleh diterima oleh mana-mana alat penerima yang sesuai. Ini berbeza dari tayangan percuma (Free-to-view, FTV) yang boleh diterima tanpa perlu langganan tetapi disulitkan secara digital dan boleh dihadkan kepada kawasan tertentu. Kedua-duanya bertentangan dengan televisyen berbayar, iaitu perkhidmatan berlangganan atau bayaran atas permintaan (pay-per-view).
Adakalanya, televisyen satelit juga bersiaran percuma, tetapi selalunya siaran percuma diterajui oleh siaran terestrial melalui jalur UHF atau VHF.
Walaupun namanya percuma, namun ada kalanya penonton terpaksa membayarnya. Penonton membiayai siaran secara langsung dengan membayar yuran lesen televisyen (contoh: BBC di UK) atau dermaan sukarela (PBS di Amerika Syarikat), di samping juga pembiayaan secara tidak langsung seperti membeli barangan dan perkhidmatan pengguna yang dilariskan melalui pengiklanan dan penajaan yang dibayar oleh pengeluar atau promoter kepada penyiar (TV3 di Malaysia), tidak dilupakan juga pembiayaan melalui pendapatan kerajaan (RTM di Malaysia).
Penyiaran antarabangsa juga boleh dipancarkan secara percuma, lebih kurang macam radio gelombang pendek. Kebanyakan peruncit FTA yang dibenarkan menyenaraikan panduan saluran dan kandungan percuma yang boleh diterima di kawasan perkhidmatannya.