Nur Jahan
Nur Jahan | |
---|---|
Permaisuri Agung Mughal | |
Pemakaman | Shahdara Bagh, Lahore |
Pasangan | Sher Afghan Quli Khan Jahangir |
Anakanda | Ladli Begum |
Kerabat | Timurid |
Ayahanda | Mirza Ghias Beg |
Bonda | Asmat Begum |
Agama | Islam Syiah |
Begum Nur Jahan ( Parsi / Urdu : نور جہاں) (ejaan alternatif Noor Jahan, Nur Jehan, Nur Jahan, Noor Jehan dll) (1577-1645), nama kelahirannya Mehr-un-Nissa, adalah ratu dari Wangsa Mughal dari Parsi. Makam asalnya terletak di Lahore , Pakistan. Dia adalah ibu saudara/bibi kepada Maharani Mumtaz Mahalserta ibu tirinya Maharaja Shah Jahan .
Nur Jahan Begum adalah isteri ke-20 sekaligus isteri terakhir, ketua permaisuri serta isteri kegemarannya Maharaja Mughal, Jahangir yang mana merupakan suami kedua beliau. Dilahirkan didalam keluarga bangsawan, beliau adalah wanita terpelajar dan berkarakter kuat serta mempunyai sifat marah yang tidak menentu, ketajaman akal serta pantas dalam bertindak.Begum Nur Jahan merupakan maharani yang paling terkenal dari Empayar Mughal. Beliau memegang gelaran "memerintah dari balik takhta" atau kekuatan sebenar dibalik takhta semasa Maharaja Jahangir berjuang melawan ketagihan serius akan alkohol dan candu di sepanjang pemerintahan beliau. Nur Jahan menjadi wanita paling berpengaruh di empayar Mughal ketika pertengahan abad ke-17 serta dianggap satu-satunya pemerintah wanita 'de facto' dalam sejarah Mughal. Nur Jahan menggenggam hampir seluruh kekuasaan empayar Mughal yang sebelumnya tidak berlaku kepada mana-mana permaisuri Mughal sebelum atau selepasnya dengan diberi keistimewaan serta penghormatan tertinggi, iaitu satu-satunya permaisuri Mughal yang mana koin perak kerajaan dicetak atas namanya.
Beliau selalu menyertai Maharaja Jahangir ketika pertemuan mesyuarat di"Jharoka" atau di balkoni kerajaan dimana sedang membincangkan urusan kenegaraan dibalik tirai, jika Nur Jahan tidak berkenan atas sesuatu hal, baginda akan memberi isyarat meletakkan tangannya diatas bahu Maharaja Jahangir ketika mesyuarat sedang berlangsung. Jika Maharaja gering, Nur Jahan akan menggantikan sang suami mengetuai mesyuarat kerajaan, memberi pandangannya dalam membuat keputusan dengan kadar segera. Selain itu, Nur Jahan diberi keistimewaan untuk mengendalikan cap mohor kerajaan dan mengeluarkan "Farman" atau surat mahkamah diraja, serta bertugas menyemak dan meneliti segala dokumen kerajaan sebelum ia ditandatangani dan diberi perakuan yang sah. Untuk mengukuhkan lagi kelangsungan pengaruh keluarganya dalam empayar Mughal pada masa hadapan, Nur Jahan telah mengatur sebuah perkahwinan bermotifkan politik dengan memasangkan puteri tunggalnya Ladli Begum dengan Putera Shahryar dan anak saudaranya Arjumand Banu dengan Putera Khurram, tidak cukup dengan itu, Nur Jahan menggunakan kelebihannya sebagai permaisuri tertinggi dengan memberikan jawatan penting kerajaan kepada ahli keluarganya, abangnya Asaf Khan dan ayahnya Mirza Ghias Beg dilantik sebagai penasihat dan menteri tertinggi di kerajaan.
Tidak seperti anak saudaranya Mumtaz Mahal, dimana kedua mereka mempunyai perintah atas suami, Maharani Nur Jahan sangat aktif melibatkan dirinya dalam urusan perkembangan dan pembangunan empayar Mughal dan mempamerkan aspirasinya semata-mata untuk urusan politik serta terlibat dalam segala-galanya yang berkaitan dengan urusan politik empayar Mughal.
Bagai disihir, Jahangir yang mudah dipengaruhi itu menuruti kemahuan isterinya dengan membiarkan Nur Jahan mengambil alih urusan perbendaharaan negara dan politik sehinggakan menimbulkan rasa kurang senang Putera Khurram. Khurram mempunyai hubungan yang dingin dengan ibu tirinya serta tidak menyukai pengaruh Nur Jahan yang sewenang-wenang campur tangan dalam urusan politik empayar, berbeza dengan Shahryar yang selalu mabuk malar, suka berfoya-foya, mudah dipergunakan serta tidak berminat dengan urusan politik dengan menghabiskan masa dengan gadis-gadis dan hiburan di harem. Ini menandakan permulaan pemberontakan oleh Putera Khurram menentang ayahandanya Jahangir bermula dari tahun 1622 sehingga 1624, ketegangan antara ayah dan anak mula mereda serta hubungan mereka mula membaik dan berdamai antara satu sama lain selepas tahun 1625 menyebabkan Nur Jahan mencari peluang lain. Selepas kejadian ini, Nur Jahan berdepan dengan satu lagi cabaran baharu, beliau berkecil hati serta tercabar dengan kebolehpercayaan dan kewibawaan Mahabat Khan, general yang serba boleh yang memadamkan pemberontakan yang dilakukan oleh Putera Khurram, dengan kelicikannya Nur Jahan mengatur untuknya jawatan sebagai Gabenor Bengal(sekarang Bangladesh)sebuah wilayah yang jauh dan memindahkannya dari ibu kota, dan kemudian Nur Jahan menyuruh dia didakwa atas kelakuan tidak setia kepada Maharaja serta merta memerintahkannya pulang ke ibu kota Agra bagi menghadapi pertuduhan. Tindakan membabi buta Nur Jahan ini telah mencetuskan satu lagi siri pemberontakan oleh Mahabat Khan dan menawan Jahangir selama beberapa ratus hari. Tidak tinggal diam suaminya ditawan ditambah dengan kebenciannya terhadap Mahabat Khan, Nur Jahan bersama bantuan dari beberapa bangsawan yang masih setia kepada Jahangir membuat pakatan untuk menyerbu Mahabat Khan dan membebaskan Jahangir yang Nur Jahan sendiri menjadi komanden, rancangan itu mendapat sokongan hebat dari para bangsawan, Nur Jahan bersama angkatan tentera menuju ke kubu Mahabat Khan, Nur Jahan sambil mengendarai gajah berperang dengan hebat sambil memanah musuhnya bersama para tentera yang lain. Malang bagi Nur Jahan kerana bala tentaranya mengalami kekalahan, dan beliau juga turut ditawan oleh tentera Mahabat Khan, Nur Jahan dihumban ke penjara yang juga menempatkan suaminya Jahangir. Setelah melalui penawanan yang sulit, Nur Jahan dengan pintarnya berjaya melepaskan diri dengan merasuah pegawai penjara sejumlah emas dan barang kemas miliknya, tanpa menunggu lama Nur Jahan membawa keluar suaminya Jahangir melarikan diri ke Lahore tanpa menoleh ke belakang. Kemangkatan mengejut Jahangir pada tahun 1627, menciptakan lagi perang perebutan takhta atau perang saudara, Nur Jahan yang masih berkuasa dengan segala upayanya meletakkan putera Shahryar sebagai Maharaja baru, Nur Jahan yang juga memegang kunci perbendaharaan negara merasuah beberapa pegawai kerajaan, menteri dan bangsawan untuk menyokong Shahryar sebagai pengganti Jahangir. Tetapi abangnya, Asaf Khan yang juga wazir agung iri hati dan cemburu dengan pengaruh adik perempuannya Nur Jahan Dalam diam berpihak kepada Khurram, menawan Shahryar, Shahryar ditawan dan mati akibat penyakit didalam tahanan penjara, hal ini menyebabkan Nur Jahan mengalami kekalahan secara total dan rancangannya untuk terus berkuasa telah pun gagal sepenuhnya. Nur Jahan mengakhiri kekuasaannya dengan rela hati dan diasingkan ke Lahore bersama Ladli Begum bersama seorang cucu perempuan, mereka bertiga menjalani kehidupan sebagai tahanan rumah yang serba mewah dan tenang disebuah rumah agam di Lahore dengan diberi kurniaan belanja tahunan sejumlah 2 lakh rupees dibayar tunai oleh Shah Jahan.