Pergi ke kandungan

Mastif Pyrénées

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Mastif Pyrénées
Nama lain
  • Mastif Aragon[1]:553
  • Gos ramader[1]:553
Negara asalSpain
Trait
Berat 60–90 kg (130–200 lb)[1]:553
Tinggi Jantan Minimum 77 cm (30 in)[2][3]
Betina Minimum 72 cm (28 in)[2][3]
Anjing (Canis lupus familiaris)
Carlanca Sepanyol (tetapi bukan Aragon) atau kolar serigala

Mastif Pyrénées[a] ialah suatu baka anjing penjaga haiwan ternakan besar dari komuniti berautonomi Aragon di Sepanyol timur laut.[1]:552 Ia secara tradisional digunakan untuk melindungi kawanan ternakan semasa pindah ternak ke padang ragut tinggi musim panas di Pergunungan Pyrénées.[1]:552 Ia baka berbeza dan terpisah daripada mastif Sepanyol dan daripada anjing gunung Pyrénées dan anjing gembala Pyrénées.

Mastif Pyrénées berasal dari bekas Kerajaan Aragon. Di sana, ia telah didokumenkan sejak Zaman Pertengahan.[1]:553 Asal usul dan tujuannya adalah dalam pindah ternak tahunan untuk kawanan ke padang ragut tinggi di Pergunungan Pyrénées untuk bulan-bulan musim panas dan kepulangan ke tanah rendah untuk musim sejuk. Anjing-anjing ini dibela bersama dengan biri-biri sejak usia muda; tugasnya adalah untuk melindungi kawanan daripada pemangsa dan, khususnya, daripada serigala. Seperti baka anjing penjaga haiwan ternakan Eropah lain, ia kerap dipasang dengan kolar serigala daripada logam berduri atau carlanca untuk perlindungan tambahan.[1]:552

Tiga ekor anjing ini ditunjukkan di Madrid pada tahun 1890. Dalam edisi pertama Libro de Orígenes Español (Madrid, 1913), entri kedua untuk anjing yang didaftarkan pada tahun 1912 ialah "Mastín Español del Pirineo" ("mastif Pyrénées Sepanyol").[1]:553

Pada lewat tahun 1940-an, serigala lenyap dari Pergunungan Pyrénées dan apabila ia tidak lagi diperlukan untuk fungsi utamanya, baka ini mula merosot.[1]:552 Ia diterima sepenuhnya oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa pada tahun 1954.[4] Pada tahun 1977, sebuah persatuan baka, iaitu Club del Mastín del Pirineo ("Kelab Mastif Pyrénées"), ditubuhkan;[5] anjing-anjing ini secara beransur-ansur tersebar di kebanyakan Sepanyol dan kemudian tersebar ke negara lain di Eropah dan di Benua Amerika dan ke Australia dan ke Jepun.[1]:552

Mastif Pyrénées ialah anjing sangat besar. Ketinggian minimum yang boleh diterima pada paras kelasa untuk jantan ialah 77 sentimeter (30 in) dan untuk betina 72 sentimeter (28 in); tiada had atas dan anjing lebih besar diutamakan.[3][2] Ia mempunyai lapis bulu putih tebal dengan topeng berwarna lebih gelap dan kerap dengan tompok-tompok yang sewarna dengan tubuh; telinganya sentiasa mempunyai tompok-tompok lebih gelap.[3][2] Beratnya berbeza-baza sekitar 60–90 kilogram (130–200 lb).[1]:553

  1. ^ Jawi: مستيف ڤيريني; Sepanyol: mastín del Pirineo; mastín de los Pirineos; Aragon: mostín d'o Pireneu; bahasa Inggeris: Pyrenean mastiff
  1. ^ a b c d e f g h i j k Rodríguez, Miguel Fernández; Fernández, Mariano Gómez; Delgado-Bermejo, Juan Vicente; Belmonte, Silvia Adán; Cabras, Miguel Jiménez, penyunting (1 Oktober 2009). Guía de campo de las razas autóctonas españolas [Panduan Lapangan Baka Anjing Autokton Sepanyol] (dalam bahasa Sepanyol). Madrid, Sepanyol: Kementerian Alam Sekitar dan Persekitaran Luar Bandar dan Laut. ISBN 9788449109461. OCLC 804450785.
  2. ^ a b c d "FCI-Standard N° 92 MASTÍN DEL PIRINEO (Pyrenean Mastiff)" [Piawaian FCI No. 92 Mastif Pyrénées] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Seidler, Chris. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 30 Ogos 2022. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  3. ^ a b c d "Estándar-FCI N° 92 MASTÍN DEL PIRINEO" [Piawaian FCI No. 92 Mastif Pyrénées] (pdf) (dalam bahasa Sepanyol). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 30 Ogos 2002. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  4. ^ "FCI breeds nomenclature: MASTÍN DEL PIRINEO (92)" [Tatanama baka FCI: MASTIF PYRÉNÉES (92)] (dalam bahasa Inggeris). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  5. ^ Historia del Mastín del Pirineo (dalam bahasa Sepanyol). Club del Mastín del Pirineo de España. Diarkibkan pada 23 April 2020.