Ishida Uryū
Ishida Uryū | |
---|---|
Watak 'Bleach' | |
Disuarakan oleh |
Noriaki Sugiyama (Bahasa Jepun) Takako Honda (Bahasa Jepun, kecil) Derek Stephen Prince (Bahasa Inggeris) |
Profil | |
Spesies | Manusia (Quincy) |
Jantina | Lelaki |
Pangkat | Heir to the title "The last Quincy" |
Saudara | Ishida Ryūken (bapa), Ishida Sōken (datuk, meninggal dunia) |
Watak dan Perwatakan
[sunting | sunting sumber]Ishida Uryū berambut hitam, memakai kaca mata (lalu digelar si empat mata oleh beberapa rakan sekelas) dan merupakan remaja dengan ketinggian biasa. Di sekolah, Ishida memakai seragam sekolah bersama-sama tali leher sementara di luar pula dia mengenakan pakaian putih Quincy dengan jaluran biru untuk melambangkan "Quincy cross".
Secara amnya, Ishida adalah seorang yang pemalu dan pendiam tetapi sentiasa berusaha untuk tampak hebat apabila berada dalam kalangan orang ramai. Sebagai contoh, ketika di Soul Society, dia memakai mantel yang tidak menyumbang kepada apa-apa kebaikan (malah mengehadkan pergerakannya) kerana artikel itu membolehkan Ishida kelihatan bergaya. Dia juga membawa mantel simpanan ke sana. Selain itu, dia cenderung untuk bercakap dengan dramatik.
Ishida menjalankan tugas berdasarkan etika moral yang dikenali sebagai "Maruah sebagai Quincy" dan berpegang teguh kepada keadilan. Dia juga sentiasa mempertahankan pihak wanita yang diancam oleh mana-mana lelaki. Sikap ini telah diperlihatkan beberapa kali dalam siri ini; dia cuba mempertahankan Kuchiki Rukia daripada Abarai Renji ketika dia dan Kuchiki Byakuya ke dunia manusia untuk memberkas Rukia. Dia juga sentiasa melindungi Inoue Orihime daripada ancaman dalam babak Soul Society.
Ishida tidak menghormati ayahnya, Ryūken. Dia memanggil ayahnya dengan nama dan tindakan ini dianggap amat biadab dalam komuniti Jepun. Tetapi, Ishida makan hati apabila Rukia mengatakan bahawa hospital Ishida (ayahnya merupakan pengarah terkini) sudah usang dan Renji berkata bahawa hospital tersebut hanya untuk diperagakan sahaja.
Ishida mempunyai tekanan darah rendah dan tidak suka berlengah-lengah. Perkara lain yang dibencinya juga agak pelik: butang (walaupun amat berkemahiran dalam kerja-kerja menjahit) dan perkataan "kacau-bilau". Makanan kegemarannya ialah stew miso makeral yang dimasak di rumah. Rancangan TV kegemarannya ialah "Bura-Rei" oleh Don Kanonji. Bayang-bayang yang melompat keluar dari sekumpulan penonton semasa Kanonji mula-mula diperkenalkan ialah Ishida.
Sekolah
[sunting | sunting sumber]Di sekolah, Ishida menduduki tempat pertama dalam akademik. Bersesuaian dengan sikap Ichigo yang selalu salah membaca nama orang lain, dia membaca nama Uryū sebagai Ametatsu dan membuat andaian bahawa Ishida adalah seorang gadis (雨 boleh dibaca sebagai "ame" dan 竜 sebagai "tatsu" yang biasanya digunakan dalam nama perempuan).
Ishida juga menganggotai Kelab Kraftangan memandangkan dia amat berkemahiran dalam kerja-kerja menjahit. Dia juga nampaknya ialah ahli yang berskil tertinggi kerana ahli-ahli lain sering meminta bantuannya untuk membaiki barangan mereka. Ishidalah yang selalu membaiki Kon semula apabila tubuhnya koyak-rabak walaupun dia suka menambahkan aksesori tambahan yang tidak disukai Kon. Selepas dipukul oleh Kon, Ishida menjahitkan "Quincy cross" di belakang kepalanya sebagai balasan.
Ishida sentiasa dipulaukan di sekolah dan hampir tidak pernah berinteraksi dengan sesiapa. Dia menolak jemputan Ichigo untuk makan bersama-samanya tetapi bersetuju apabila orang lain akan membayar bilnya. Seperti watak-watak lain (Orihime dan Sado Yasutora, Ishida tinggal seorang diri.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Sebagai remaja berumur 15 tahun, Ishida tidak mempunyai sejarah yang kaya dengan kisah-kisah menarik seperti watak-watak lain, terutamanya shinigami yang mempunyai jangka hayat panjang.
Sebagai kanak-kanak, Ishida banyak berinteraksi dan berlatih dengan datuknya, Ishida Sōken. Ayahnya, Ishida Ryūken tidak berapa berminat untuk menjadi seorang Quincy kerana berpendapat bahawa kerjaya itu tidak menguntungkan. Oleh itu, hubungan antara Ishida dengan ayahnya agak renggang. Sōken memahami pandangan Ryūken kerana seorang Quincy lebih mementingkan keadilan daripada ganjaran material dan Ryūken bertanggungjawab menyara keluarganya. Sōken memberitahu Ishida bahawa suatu masa nanti, dia akan memahami motif ayahnya tetapi sehingga kini, Ishida masih berlaku dingin terhadap ayahnya.
Pada usia yang muda, datuk Ishida dibunuh oleh hollow di hadapannya. Ishida yang menyaksikan peristiwa hitam itu tidak mampu berbuat apa-apa untuk melindungi datuknya. Hal ini menjadi salah satu sebab kepada kebenciannya terhadap shinigami yang tidak menyelamatkan Sōken. Kemudiannya, Kaptan Bahagian ke-12 yang terkini menjelaskan bahawa dia mahu mengutip roh Sōken untuk dikaji, maka sengaja melengahkan shinigami lain untuk tiba di tempat kejadian.
Sinopsis
[sunting | sunting sumber]Kisah awal
[sunting | sunting sumber]Ishida diperkenalkan sebagai rakan sekelas Ichigo yang belum diketahui namanya. Beberapa hari selepas Ichigo menjadi shinigami, telefon bimbit Rukia mulai berdering untuk memberi amaran bahawa terdapat hollow di sekitar. Tetapi, apabila dia tiba di lokasi tersebut, tiada hollow dapat dikesan. Sebenarnya, Ishida telah menghapuskan hollow tersebut sebelum Ichigo sempat berkejar ke sana. Dia kemudiannya memperkenalkan dirinya kepada Ichigo secara formal selepas tiga atau empat deringan telefon bimbit yang "palsu" dan memaklumkan mereka tentang kebenciannya terhadap semua shinigami.
Ichigo mengekori Ishida keesokan harinya dan Ishida mencabarnya untuk melihat sama ada seorang Quincy atau shinigami mampu membunuh hollow dengan lebih banyak. Dengan menggunakan umpan hollow, beberapa hollow muncul di Bandar Karakura. Umpan tersebut berfungsi dengan lebih baik dan hollow muncul di alam nyata dalam angka yang lebih besar. Pertambahan bilangan hollow memaksa mereka berdua untuk bekerjasama. Satu Menos Grande turut muncul. Jelas sekali, Ichigo dan Ishida tidak berkemampuan untuk menewaskannya. Ishida kemudiannya mencuba satu kaedah pelik untuk meningkatkan kuasa busurnya: dengan mengikat pedang Ichigo di atas kepalanya, dia dapat menyerap kuasa semangat Ichigo. Ichigo menolak idea ini dan menyerang Menos tersebut sendirian. Dia berjaya menghalau Menos tersebut ke Hueco Mundo semula dengan membebaskan tenaga semangat dalam kuantiti yang besar. Tetapi, tubuhnya tidak dapat bertahan selepas kuasa semangat dilepaskan secara mendadak. Ishida menembak tenaga semangat Ichigo yang berlebihan dan bersumpah untuk menyelamatkan Ichigo supaya dia dapat menewaskannya suatu hari nanti. Dengan ini, Ishida memecahkan janjinya untuk membenci shinigami apabila dia menyelamatkan Ichigo.
Babak Soul Society
[sunting | sunting sumber]Semasa Rukia bersemuka dengan Renji dan Byakuya yang ingin memberkasnya, Ishida cuba menyelamatkannya dan mereka satu alasan tentang membeli alatan menjahit pada malam-malam buta (dan kemudiannya mengakui bahawa beg yang dibimbitnya sebenarnya dibawa dari rumah). Tetapi, Ishida tidak dapat melindungi Rukia. Rukia bersetuju untuk pulang ke Soul Society apabila Ichigo cedera parah. Selepas dirawat oleh Urahara Kisuke, Ishida berkata bahawa hanya Ichigo yang dapat membawa Rukia pulang dengan selamatnya.
Sebelum bertolak ke Soul Society, Ishida berlatih bersendirian selama seminggu dengan menggunakan sarung tangan sanrei yang meningkatkan keupayaannya untuk membentuk dan menembak panah kuasa semangat. Selepas seminggu, Ishida bertolak ke Soul Society dengan Orihime, Chad, Shihouin Yoruichi dan Ichigo.
Apabila kumpulan mereka berpecah ketika cuba memasuki Seireitei, Ishida terpaksa berpasangan dengan Orihime. Mereka menggunakan bumbung bangunan sebagai jalan dan di sana, Orihime diserang oleh Ikkanzaka Jirōbō dari Bahagian ke-7. Jirōbō mencabar Ishida dengan nama "Kamaitachi" sebagai pertaruhan yang biasanya diberikan kepada pengguna senjata lontaran yang terunggul. Ishida dengan mudahnya menewaskan shinigami tersebut tetapi Jirōbō berpendapat bahawa dia masih dapat mengalahkan Orihime. Ishida dengan segera menyelamatkan Orihime dengan menembak dua titik pada Jirōbō yang bertanggungjawab menjana kuasa semangat sekaligus menyelamatkan Orihime dan menyebabkan Jirōbō tidak berupaya meneruskan kehidupan sebagai shinigami.
Ishida dan Orihime kemudiannya menyerang hendap dua orang shinigami dari Bahagian ke-12 dan mencuri pakaian mereka supaya tidak disyaki oleh shinigami lain semasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Tidak lama kemudian, mereka berselisih pula dengan Aramaki Makizō dari Bahagian ke-12 yang sedang mabuk tetapi sempat "diselamatkan" oleh shinigami lain dari Bahagian ke-12. Shinigami-shinigami yang baru tiba ke tempat kejadian sebenarnya berlaku demikian atas arahan kaptan mereka, Kurotsuchi Mayuri dan tanpa pengetahuan mereka, Mayuri berniat untuk menggunakan mereka sebagai bom manusia bagi memerangkap Ishida dan Orihime. Mayuri tertarik akan kuasa Orihime apabila Orihime melindungi dirinya, Ishida dan Aramaki daripada letupan yang berlaku. Ishida sedar bahawa pihak lawan mereka tidak sama dengan lawan yang terdahulu dan mengarahkan Aramaki untuk membawa Orihime beredar dari situ sementara dia berhadapan dengan Mayuri.
Pada mulanya, Ishida dapat bersaing pada tahap yang sama dengan Mayuri walaupun Mayuri dapat menjana semula anggota badan yang rosak dan menggunakan bahagian tubuh tertentu sebagai senjata. Dia kemudiannya menggunakan tahap pertama zanpakutōnya yang berkuasa untuk melumpuhkan pihak lawan. Dia juga menggunakan leftenannya, Kurotsuchi Nemu untuk mengunci pergerakan Ishida supaya dapat mencederakannya. Ishida naik berang apabila Mayuri tidak mengendahkan hidup mati leftenannya dan menendang Nemu apabila dia meminta bantuan perubatan. Mayuri kemudiannya mendedahkan bahawa dialah yang mencipta Nemu dan mengetawakan perasaan simpati Ishida sebagai prinsip "Maruah Quincy" yang tidak bermakna. Dia masih ingat tentang Quincy terakhir yang menjadi subjek uji kajinya; Quincy tersebut sentiasa memanggil nama pelajarnya dan menunjukkan gambar Quincy itu kepada Ishida. Gambar itu tidak lain dan tidak bukan memaparkan wajah datuknya. Ishida kini berazam untuk membalas dendam atas kematian datuknya dan menggunakan ransōtengai untuk menggerakkan bahagian badan yang lumpuh. Selepas itu, dia menanggalkan sarung tangan sanrei. Tindakan ini menyebabkan kuasa semangatnya meningkat secara mendadak tetapi akan meninggalkan Ishida langsung tidak berkuasa sebentar lagi. Ishida dalam bentuk ini jauh lebih berkuasa daripada Mayuri tetapi dia masih gagal untuk membunuh shinigami tersebut. Selepas Mayuri menggunakan tahap terakhir zanpakutōnya untuk meracuni Ishida, Ishida menembaknya di bahagian dada menyebabkan Mayuri berubah kepada bentuk cecair dan berpeluang untuk melarikan diri.
Selepas itu, Nemu memberi Ishida penawar kepada racun Mayuri sebagai tanda terima kasih kerana tidak menembak pencipta dan ayahnya di bahagian kepala. Ishida menuju ke Tokong Kesedaran dan sedar bahawa dia telah kehilangan kuasa Quincynya seperti yang dikatakan oleh datuknya. Di sana, dia bertemu dengan Tōsen Kaname yang menggunakan tahap pertama zanpakutōnya untuk memengsankan Ishida. Ishida kemudiannya ditempatkan di dalam bilik tahanan Bahagian ke-4 dan berjumpa semula dengan Shiba Ganju dan Chad. Mereka dibebaskan oleh Zaraki Kenpachi dan bertemu dengan Orihime. Leftenan Kenpachi, Kusajishi Yachiru memimpin kumpulan mereka ke lokasi hukuman dan menyaksikan pertarungan antara Ichigo dengan Byakuya. Setelah Byakuya ditewaskan, mereka merawat kecederaan Ichigo. Mereka kemudiannya mempelajari bahawa segala peristiwa yang berlaku di Soul Society merupakan rancangan Aizen Sōsuke. Selepas Aizen bertolak ke Hueco Mundo, Ishida, Chad, Ichigo dan Orihime balik ke alam manusia. Apabila Ishida pulang ke rumahnya, dia mengingatkan Ichigo bahawa mereka masih merupakan musuh.
Babak Bount
[sunting | sunting sumber]Dalam anime, Ishida tidak memberitahu Ichigo dan rakan-rakan bahawa dia telah kehilangan kuasa Quincynya. Mereka menyedari hakikat ini setelah menyelesaikan "permainan" Urahara dan dimaklumkan oleh Urahara sendiri.
Di sekolah, Ririn mengatakan bahawa seorang Bount berada berhampiran dan Ishida mengikuti kumpulan Ichigo ke sana walaupun Ichigo menasihatinya agar tidak terlalu memaksa diri. Mereka mendapati bahawa Utagawa Ryō hampir-hampir menyerap roh seorang wanita. Satu pertarungan kecil bermula dan Ishida telah diperangkap oleh Utagawa. Utagawa kemudiannya menyedari bahawa Ishida merupakan seorang Quincy dan ingin menyerangnya tetapi Ichigo menghalang serangannya. Utagawa mengugut akan mencederakan wanita tersebut jika sesiapa cuba bergerak. Ishida berkata bahawa pertarungan ini tidak patut melibatkan orang awam yang tidak berdosa dan menawarkan dirinya sebagai tebusan. Sebaik sahaja Ishida ditangkap oleh ularnya, ia memengsankannya dengan menghentam tubuhnya ke atas tanah. Sebelum Utagawa sempat membuat apa-apa lagi, Sōma Yoshino tiba di tempat kejadian dan membawa Ishida ke rumahnya.
Yoshino menceritakan kisah Bount kepada Ishida dan menjelaskan bahawa dia tidak akan mencederakan Ishida. Dia juga menyuruh Ishida agar berjuang untuk terus hidup dan jangan ditangkap oleh Kariya. Ishida kemudiannya tidak sedarkan diri kerana kecederaannya dan mendapati dirinya di hospital ayahnya selepas membuka mata. Di sana, dia dan rakan-rakan diserang oleh Bount kembar Hō dan Ban sehinggalah mereka diselamatkan oleh Shiba Ganju yang menggunakan bunga api untuk membunuh Bount tersebut.
Ishida kemudiannya ditangkap oleh Bount yang mendakwa bahawa mereka memerlukan kuasa Quincy dan mengurungnya di dalam sebuah bilik di rumah agam Kariya Jin, ketua bagi kumpulan Bount. Yoshino juga sedang dikurung di sana dan Ishida berkeras mahu menyelamatkannya apabila rakan-rakannya cuba membawanya keluar dari situ. Selepas rumah agam Kariya hancur musnah, kedua-dua Ishida dan Yoshino menerima rawatan di Kedai Urahara.
Yoshino cuba menewaskan Kariya sendirian dan diekori oleh Ishida yang hanya mampu melihat Yoshino dibunuh oleh Kariya sebagai korban bagi upacara penciptaan bitto (serangga yang boleh menyerap roh). Ishida mahu membalas dendam dan berusaha untuk memperoleh semula kuasa Quincynya. Tetapi, dia tidak dapat membentuk busur asalnya dengan baik. Sementara itu, Kurotsuchi Mayuri amat tertarik dengan Bount dan ingin mendapatkan seorang bagi uji kajinya. Apabila sedar bahawa seorang Quincy diperlukan bagi membolehkan Bount pergi ke Soul Society, Mayuri mengarahkan Nemu menyerahkan satu artifak Quincy yang boleh meniru keupayaan seorang Quincy bagi suatu tempoh yang pendek. Apabila Ishida memperoleh semula kuasanya, dia membenarkan Bount bertolak ke Soul Society kerana artifak tersebut dapat berfungsi dengan lebih baik di sana (sebenarnya, keupayaan Bount juga akan turut meningkat di Soul Society tetapi Ishida tidak diberitahu tentang hal ini).
Di Soul Society, Ichigo dan Ishida bertemu dengan Rantao yang seiras dengan wajah Yoshino. Sebagai pencipta Bount, Rantao tidak terkejut bahawa dia telah mencipta seorang klon dalam kalangan Bount. Dia menerangkan bahawa Bount hampir serupa dengan roh modifikasi tetapi dibina berasaskan roh shinigami dan bukannya roh manusia. Maka, Bount mempunyai kuasa terpendam. Dia juga menjelaskan bahawa kebanyakan Bount telah dibunuh oleh shinigami.
Kemudian, ketika mereka berusaha untuk menjejaki Bount, Ishida berselisih dengan Bount Yoshi. Ishida yang belum menguasai artifak Quincy tersebut tidak dapat bertarung dengan baik kerana tembakannya sering tersasar dan panahnya tidak mengandungi kuasa semangat yang persis. Tetapi, lama kelamaan, Ishida semakin mahir menggunakan item tersebut. Satu tembakan yang tersasar daripada target sebenar membolehkan Ishida mempelajari kelemahan Yoshi iaitu jurang masa yang diperlukan untuk doll bertukar bentuk. Dengan pengetahuan ini, Ishida dengan mudahnya menembak ke dadanya sekaligus membunuh Bount tersebut.
Selepas pertarungan, Ishida dijumpai oleh Ichigo dan Chad dan dimaklumkan tentang niat Kariya. Selepas dirawat oleh Orihime, dia berusaha untuk menjejaki Kariya (kini Bount terakhir di dunia) dan melibatkan dirinya dalam pertarungan antara Kariya dengan Rantao. Rantao menggunakan kuasa Jōkaishō (sumber kuasa semangat yang sangat besar) untuk mengunci pergerakan Kariya supaya Ishida dapat menembak menembusi tubuhnya sekaligus membunuh Kariya. Ishida tidak berbuat demikian. Sebaliknya, dia berusaha untuk memisahkan mereka berdua tanpa mencederakan Rantao dan Kariya. Apabila Rantao tidak dapat mengawal kuasa semangatnya, Ishida mengumpulkan kuasa semangat tersebut ke dalam satu panah dan menembaknya ke langit. Dalam proses ini, artifak Quincynya retak dan musnah. Mereka diselamatkan daripada maut oleh Ichigo yang tiba tepat pada masanya.
Babak Arrancar
[sunting | sunting sumber]Selepas pulang ke dunia sebenar, satu hollow muncul di luar sekolah. Ichigo, Chad, Orihime dan seorang pelajar baru Hirako Shinji berlari keluar. Ichigo dengan mudahnya dapat menewaskan hollow tersebut dan menyedari bahawa Ishida tidak bersama-sama mereka. Orihime memberitahu Chad dan Ichigo bahawa Ishida kemurungan dan tidak suka menunjukkan kelemahannya kepada orang lain. Oleh sebab itu, dia berkeputusan untuk tinggal di sekolah.
Semasa berjalan pulang ke rumah, Ishida diserang oleh dua arrancar yang tidak sempurna dan kelihatan seperti gasing. Dia terpaksa mempertahankan diri dengan menggunakan teknik seolah-olah kidō yang menggunakan kuasa semangat yang disimpan di dalam gintō. Ishida tidak dapat menewaskannya apabila ia berpisah kepada dua entiti. Tetapi, dia diselamatkan oleh ayahnya, Ryūken. Ryūken dengan mudahnya membunuh makhluk tersebut dan mendedahkan Bintang Bucu Lima Quincynya, "Quincy cross" yang pernah dimiliki oleh datuknya suatu ketika dahulu. Ryūken tahu tentang aktiviti anaknya di Soul Society dan memarahinya kerana kehilangan kuasa Quincy. Walau bagaimanapun, Ryūken berkata bahawa dia boleh memulihkan kuasa Ishida dengan syarat dia tidak akan bersekongkol dengan shinigami lagi.
Apabila Grimmjow Jaggerjack dan lima orang arrancar lain bertarung dengan shinigami, Ishida berlatih di dalam bilik rahsia yang diperbuat daripada perak dan kaca yang disintesis oleh roh. Ryūken menembak panak kepada Ishida dan mengatakan bahawa jika dia boleh hidup selepas ini, dia boleh memperoleh semula kuasa Quincynya. Selepas mengelak kesemua panahan ayahnya buat beberapa ketika, Ishida menjadi letih dan cuba menyerang dengan gintō terakhirnya untuk memerangkap ayahnya di dalam tiub kaca. Ryūken dapat memanah keluar dari kaca tersebut dengan mudah. Panah tersebut menembusi tubuh Ishida di satu titik berhampiran dengan jantungnya. Ryūken memberitahu Ishida bahawa dengan menembak 19 milimeter dari jantung seseorang selepas dia keletihan dari segi fizikal dan mental, kuasa Quincynya akan dapat dipulihkan.
Babak Hueco Mundo
[sunting | sunting sumber]Setelah Orihime ditangkap oleh Aizen, Ishida muncul di Kedai Urahara bersama-sama Chad untuk membantu Ichigo menyelamatkannya. Dalam perjalanan ke Hueco Mundo, dia menjelaskan bahawa dia tidak membantu Ichigo sebagai kawan tetapi kerana Ichigo telah disisihkan dari Soul Society dan bukan merupakan shinigami yang sah. Maka, dia tidak melanggar janji yang telah dibuat kepada ayahnya. Tetapi, Kurosaki Isshin percaya bahawa Ryūken sengaja merelakan anaknya membantu Ichigo.
Setibanya di Hueco Mundo, Ishida dan Chad bertarung dengan dua orang arrancar yang bernama Iceringer dan Demōra serta menyuruh Ichigo untuk tidak melibatkan diri. Semasa Ishida berhempas-pulas berlawan dengan Demōra, dia mengingati nasihat ayahnya berkenaan dengan pertarungan dua-lawan-dua, dan bertukar lawan dengan Chad. Ishida menyeru busur baharunya dan bertempur secara jarak jauh dengan Iceringer. Malang sekali bagi Iceringer, kemahiran Ishida jauh mengatasi keupayaannya dan Ishida dapat menewaskannya dengan mudah.
Dalam perjalanan ke istana Aizen, kumpulan ini terserempak dengan beberapa hollow "baik" dan teman arrancar mereka. Mereka bergabung tenaga dan bergerak ke istana Aizen. Tetapi, mereka diserang hendap oleh beberapa gergasi pasir yang nampaknya imun terhadap segala jenis serangan. Arrancar Nell menerangkan bahawa kelemahan makhluk pasir itu ialah air. Abarai Renji dan Kuchiki Rukia tiba di tempat kejadian dan dengan menggunakan serangan berelemen ais Rukia, gergasi tersebut dapat ditumpaskan. Mereka kemudiannya tiba di sebuah bilik dengan lima pintu. Mereka bersumpah untuk berjumpa sesama sendiri hidup-hidup sebelum berpecah.
Ishida terpaksa bertarung dengan seorang arrancar wanita bernama Cirucci. Dengan menggunakan senjata seperti lasso, dia nampaknya kebal terhadap segala serangan Ishida walhal Ishida tidak dapat mempertahankan dirinya daripada serangan Cirucci. Pesshe, salah satu daripada hollow yang mesra itu, tiba di medan pertempuran semasa cuba mencari Nell. Ishida tidak berapa gembira untuk berjumpa semula dengan Pesshe dan begitu juga sebaliknya tetapi mereka berdua terpaksa berhadapan dengan Cirucci. Dia kemudiannya membebaskan zanpakutōnya untuk memperoleh sepasang sayap. Ishida dan Pesshe menghadapi masalah untuk bertarung dengannya memandangkan kepak besinya boleh dijadikan senjata lontaran. Ishida menukar strategi pertarungan dan menghasilkan sebilah pedang yang dipanggil Seele Schneider. Dengan menggunakan pedang ini, Ishida dengan mudahnya dapat menghiris segala serangan daripada sayap Cirucci.
Cirucci kemudiannya menanggalkan kepaknya dan dapat menggunakan tenaga semangat yang lebih tepu dan berkuasa. Walaupun begitu, pedang Ishida lebih kukuh buatannya dan dapat menyerap tenaga daripada serangan Cirucci dengan setiap pukulan. Cirucci percaya bahawa teknik serangan jarak jauhnya akan menewaskan Ishida. Tetapi, Ishida mengatakan bahawa Seele Schneider sebenarnya merupakan sebatang anak panah yang amat berkuasa dan bukannya sebilah pedang lantas memanahnya menembusi dada Cirucci. Selepas pertarungan itu berakhir, Pesshe sedar bahawa Cirucci belum mati tetapi Ishida tidak mahu membunuhnya dan berkata bahawa dia berhak memilih untuk berbuat demikian kerana dialah pemenang bagi perlawanan ini. Sebagai tambahan, dia mendedahkan bahawa dia menembak bahagian tubuh yang menjana kuasa semangat.
lama setelah itu Ishida bertemu dengan Renji Abarai, seorang shinigami yang merupakan teman seperjalanannya, terluka dan kepayahan bertarung melawan antek-antek Szayel Aporro-Granz, yang juga merupakan lawan dari Ishida lalu Ishida menolongnya.
Ishida, Renji, Pesshe dan Donchakka akhirnya bekerjasama untuk mengalahkan Arrancar satu ini. Saat Renji menggunakan bankainya untuk menghancurkan tempat mereka bertarung, Szayel menggunakan kesempatan ini untuk menjebak Ishida dan Renji.
Szayel membentuk semacam boneka berbentuk Ishida dalam bentuk kecil, yang apabila Szayel melkai boneka itu berarti sama dengan melukai Ishida. dengan itu Szayel bisa bertarung dengan jarak sangat jauh. Ishida dan Renji menjadi agak kewalahan, tapi lalu Pesshe dan Dondochakka datang dan menyelamatkan mereka berdua.
Kuasa
[sunting | sunting sumber]Lihat juga: kombat Quincy
Oleh sebab telah menjalani latihan formal dan mempunyai pengalaman kombat, Ishida merupakan salah satu watak protagonis yang kuat dalam siri ini. Sebagai Quincy, senjata utama Ishida ialah busurnya tetapi dia boleh menggunakan pelbagai teknik dan item Quincy untuk meningkatkan kebolehannya.
Ketika diperkenalkan, Ishida menggunakan busur yang bernama "Burung Layang-layang Solo" (弧雀, Kojaku) yang nampaknya diperbuat daripada tenaga berwarna biru. Saiznya bergantung kepada kuantiti tenaga yang mengalir di dalamnya. Dengan busur ini, Ishida dapat membunuh kebanyakan hollow dengan satu panahan.
Sebagai persediaan ke Soul Society, Ishida kemudiannya menguasai sarung tangan sanrei yang banyak meningkatkan keupayaannya. Dengan sarung tangan ini, busur Ishida menjadi nyata dan dihiasi dengan corak-corak yang rumit. Busur ini juga bersambung secara langsung kepada sarung tangannya. Dengan sanrei, Ishida boleh memanah beberapa kali serentak dan bergerak dengan laju dalam jarak yang dekat. Apabila sarung tangan ini ditanggalkan, Ishida akan mencapai Bentuk Terakhir Quincy. Rupa busurnya tidak berubah walaupun pakaian Ishida berubah sedikit. Pada peringkat ini, keupayaan Ishida akan meningkat dengan mendadak. Semua tenaga lebihan dikumpulkan ke dalam kepak pada bahu kanannya. Tetapi, sebagai akibat menanggalkan sarung tangan ini, Bentuk Terakhir Quincy menggunakan terlalu banyak kuasa sehingga tidak mampu ditanggung oleh badan Ishida dan menyebabkan tubuhnya menyekat segala kuasa Quincy selepas ini.
Dalam babak Bount (anime sahaja), Ishida memperoleh semula kuasa Quincy buat sementara waktu dengan menggunakan artifak Quincy yang boleh meniru keupayaan semula jadi seorang Quincy. Artifak ini menghasilkan pakaian seragam Quincy dan sebuah busur besi di pergelangan tangannya. Artifak ini tidak stabil dan anak-anak panah yang ditembak sering tidak mengenai sasaran. Artifak ini juga tidak kukuh dan mudah hancur jika digunakan beberapa kali.
Dalam manga, kuasa Ishida berjaya dipulihkan sepenuhnya selepas panahan ayahnya menembusi satu titik 19 milimeter dari jantungnya. Dia menggunakan "Quincy cross" yang baru yang kelihatan seperti bintang bucu lima. Tidak seperti busur-busur terdahulu, busur terkininya berbentuk seperti sarang lelabah yang boleh menembak 1,200 panahan berturut-turut. Ishida juga memperoleh beberapa aksesori Quincy yang baharu. Salah satu daripadanya ialah "Seele Schneider" (魂を切り裂くもの, Pemotong Roh), sebatang anak panah yang amat berkuasa. Objek ini boleh digunakan sebagai pedang dalam pertempuran jarak dekat. Templat:Endspoiler
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Manga Bleach; jilid 5 tankōbon, halaman 188 (bab 43, muka surat 22)