Pergi ke kandungan

Hari Deepavali

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Diwali
Hiasan rangoli menggunakan pasir berwarna sering dibuat pada perayaan ini.
Also calledDipawali
Observed byHindu, Jain, Sikh dan sesetengah aliran Buddha (terutamanya Newar)[1]
TypeBudaya, agama
CelebrationsMenghiasi rumah, membeli-belah, memasang pelita,sembahyang khusus, pemberian hadiah dan kuih sesama tetamu
DateAmavasya bulan Kartik
(mengikut takwim Hindu)
Related toGalungan, Diwali (Jainism), Bandi Chhor Divas, Tihar, Swanti, Sohrai, Bandna

Perayaan Deepavali (Tulisan Jawi: ديڤاۏالي) atau Diwali ialah suatu perayaan dalam kalangan penganut agama Hindu menandakan kemenangan oleh kuasa kebaikan terhadap kuasa kejahatan, secara simboliknya ditujukan dalam erti cahaya yang menerangi kegelapan. Maksud tersiratnya ialah menyemai nilai-nilai positif dalam diri kita untuk menjadi individu yang lebih baik dengan mengatasi nilai-nilai negatif dalam diri kita untuk perkembangan rohani.

Hari Deepavali bermula dengan menyapu minyak bijan di atas kepala dan badan untuk menyejukkan badan, diikuti upacara sembahyang bersama ahli keluarga di rumah dan mendapat restu daripada ibu bapa dan orang tua sebelum ke kuil. Semua orang akan memakai pakaian baru, berkongsi manisan yang disediakan khas untuk Deepavali serta mengunjungi rumah sanak-saudara dan rakan-rakan. Pada waktu malam, barisan lampu dinyalakan dan bunga api serta mercun memeriahkan lagi sambutan.

Peristilahan

[sunting | sunting sumber]

Nama perayaan ini meminjam Tamil: தீபாவளி dīpāvali yang sendirinya kata gabung menyerap bahasa Sanskrit दीप dīpa membawa maksud "cahaya" atau "lampu" (melalui தீபம் deepam atau tīpam)[3][4] dan आवलि āvali bermaksud "deretan", "garisan" atau "jalan" (melalui ஆவளி āvaḷi)[5][6] maka दीपावली dīpāwali atau "deretan cahaya"[7][8] dapat diberi maksud menggambarkan perjalanan menuju ke arah cahaya.

Ia juga disebut mengikut bahasa-bahasa setempat seperti berikut:

  • Bahasa Assam: দীপাৱলী dipawoli
  • Benggali: দীপাবলি/দীপালি dipaboli or dipali
  • Gujarat: દિવાળી divāḷi
  • Hindi: दिवाली divālī
  • Bahasa Kannada: ದೀಪಾವಳಿ dīpavaḷi
  • Konkani: दिवाळी
  • Bahasa Malayalam: ദീപാവലി
  • Bahasa Marathi: दिवाळी
  • Odia: ଦିପାବଳୀ dipābali
  • Bahasa Panjabi: ਦੀਵਾਲੀ dīvālī
  • Sindh: दियारी diyārī
  • Bahasa Telugu: దీపావళి tīpāvaḷi
  • Bahasa Bali: Galungan
  • Bahasa Nepal: स्वन्ति Swanti atau तिहार tihar
  • Tulu: ತುಡರ್ ಪರ್ಬ Thudar Parba

Tarikh-tarikh dalam pelbagai kalendar

[sunting | sunting sumber]
Kanak-kanak menyalakan pelita api dalam bentuk swastika sehari sebelum perayaan Deepavali disambut.

Perayaan ini disambut selama tempoh yang berbeza oleh komuniti berbeza. Walaupun hari-hari terasnya adalah sama dan jatuh pada hari-hari yang sama di seluruh Nepal dan India, namun hari-hari tersebut jatuh pada bulan-bulan Gregorian yang berbeza bergantung kepada versi kalendar Hindu yang digunakan dalam setempat. Versi Amanta ("tamat pada anak bulan") kalendar Hindu diamalkan sebagai kalendar kebangsaan India. Mengikut kalendar ini yang luas digunakan di India selatan dan Maharashtra, keraian enam hari ini dibawa dari empat hari terakhir bulan Ashwayuja (Ashwin dalam bahasa Marathi) dan dua hari pertama bulan baru Kartika. Menurut versi Purnimanta ("tamat pada bulan purnama") yang meluas di India utara, Diwali jatuh pada pertengahan bulan Ashwayuja/Ashvin. Dalam kalendar Gregorian, Deepavali biasanya tiba pada bulan Oktober atau November.

Kepentingan agama

[sunting | sunting sumber]

Perkataan Sanskrit "Deepavali" bermaksud satu pameran pelita-pelita yang menandakan kemenangan cahaya ke atas kegelapan. Oleh sebab pengetahuan bahasa Sanskrit merosot, nama perayaan ini diubah menjadi Divali, terutamanya di India utara.

Beberapa komuniti niaga di India Utara memulakan tahun kewangan pada hari Divali, maka buku akaun baru akan dibuka pada hari tersebut.

Cerita berkaitan Deepavali

[sunting | sunting sumber]

Orang Hindu memperingati beberapa peristiwa sejarah penting yang berkaitan dengan Deepavali sejak kira-kira 2 juta tahun dahulu:

  • Kembalinya Maharaja Rama ke Ayodhya: Peristiwa ini berlaku semasa Treta Yuga, kira-kira 2 juta tahun dahulu di mana Deepavali meraikan kembalinya Maharaja Rama, pemerintah negeri Ayodhya, bersama ratunya Maharani Sita dan adindanya yang menjadi ketua medan tempur iaitu Lakshmana ke Ayodhya setelah 14 tahun hidup dalam buangan, disusuli satu perang hebat yang menyaksikan Maharaja Rama membunuh raja raksasa Ravana. Adalah dipercayai bahawa rakyat Ayodhya menyala pelita sepanjang jalan untuk menerangi laluan mereka dalam kegelapan. Oleh sebab Maharaja Rama bergerak dari India Selatan (Sri Lanka) ke kerajaannya di India Utara, maka baginda merentasi bahagian selatan terlebih dahulu. Inilah sebabnya perayaan ini disambut sehari lebih awal di India Selatan. Di India Utara, perayaan ini disambut pada hari terakhir kalendar Vikram. Hari berikutnya menandakan tahun baru India Utara yang digelar Annakut.
  • Keinsafan Narakasura: Disambut sebagai Naraka Chaturdasi, dua hari sebelum hari Deepavali, hari ini memperingati keinsafanNarakasura (Naragasuri dalam bahasa Tamil), seorang raksasa yang bijak dan berkuasa lalu menjadi takbur durjana dan mula mencetuskan huru-hara. Akhirnya dia menemui ajal di tangan Ratu Satyabhama, isteri DewaKrishna. Peristiwa ini berlaku di Dwapara Yuga sekitar beberapa ratus ribu tahun dahulu ketika avatar (jelmaan) Dewa Krishna. Sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, Narakasura sedar akan kesalahannya lalu memohon maaf dan meminta dicucuri rahmat oleh ibunya, Satyabhama (dipercayai sebagai satu avatar Bhudevi - ibu Narakasura), Narakasura turut meminta rakyat jelata supaya mengambil iktibar dari cerita hidupnya dan menyambut peristiwa keinsafannya dengan perayaan yang berwarna-warni.
  • Kezahidan Shakti: Menurut Skanda Purana, Mahadewi Shakti mematuhi 21 hari kezahidan bermula daripada ashtami shukla paksha (hari kelapan tempoh pencerahan bulan) untuk memperoleh separuh jasad Mahadewa Shiva. Vrata (kezahidan) ini dikenali sebagai kedhara vrata. Deepavali ialah hari pelengkapan kezahidan ini. Inilah harinya Mahadewa Shiva menerima Mahadewi Shakti ke dalam separuh kiri jasadnya lalu menjelma sebagai Ardhanarishvara. Penganut-penganut yang kuat pegangan agamanya mematuhi vrata 21 hari ini dengan melakukan kalasha dengan 21 benang dalamnya dan 21 jenis persembahan selama 35 hari. Hari terakhirnya disambut sebagai kedhara gauri vrata.
  • Krishna menewaskan Indra: Govardhan Puja disambut sehari selepas Deepavali. Inilah harinya Raja Krishna menewaskan Indra, dewa petir dan hujan. Alkisah, Krishna memantau persediaan besar-besaran untuk persembahan tahunan kepada Dewa Indra dan menyoal ayahandanya Nanda mengenai ini. Krishna berbincang dengan para penduduk kampung mengenai apa sebenarnya 'dharma' mereka. Mereka adalah golongan petani, maka mereka patut menjalankan tugas mereka dan menumpu perhatian kepada pertanian dan perlindungan lembu-lembu mereka. Krishna terus mengatakan bahawa semua insan sepatutnya hanya mengerjakan 'karma' diri, dengan sebaik mana yang boleh dan bukannya berdoa untuk fenomena alam. Para penduduk kampung mempercayai Krishna, maka tidak meneruskan puja (prayer) istimewa itu. Maka itu, Indra murka lalu membanjiri kampung. Krishna kemudiannya mengangkat Gunung Govardhan dan mengangkatnya sebagai perlindungan kepada rakyatnya dan lembu-lembu mereka dari hujan. Indra akhirnya mengaku kalah dan memperakui keagungna Krishna. Aspek riwayat Krishna ini sungguhpun tidak diketahui ramai, namun sebenarnya menyediakan asas kepada falsafah 'karma' yang diterangkan secara terperinci dalam Bhagavad Gita. Purana

Kepentingan esoterik

[sunting | sunting sumber]
Bunga merupakan hiasan yang tidak dapat dipisahkan dari Divali seperti juga hiasan yang lain.

Walaupun Deepavali dikenali ramai sebagai "perayaan cahaya", namun erti esoteriknya yang terpenting ialah "kesedaran akan cahaya dalaman".

Yang penting dalam falsafah Hindu ialah penegasan bahawa terdapat sesuatu yang menjangkaui jasad dan minda jasmani yang tulen, abadi dan tak terhingga, iaitu Atman. Seperti mana kita menyambut kelahiran jasmani kita, Deepavali ialah sambutan Cahaya Dalaman, khususnya kesedaran akan cahaya ini yang mengatasi segala kegelapan (menanggalkan segala halangan dan melenyapkan segala kejahilan), menyedarkan individu akan sifat sejati dirinya, bukan dalam bentuk jasmani, sebaliknya dalm kenyataan yang abadi, tidak terhingga dan unggul. Dengan realisasi Atman, datangnya belas kasihan, kasih sayang sejagat, dad kesedaran seseorang akan segalanya (peningkatan pengetahuan), lalu membawa kepada Ananda (Kebahagiaan atau Keamanan Kedalaman).

Deepavali meraikannya melalui mercun, pelita, bunga, perkongsian gula-gula, dan sembahyang. Walaupun cerita di sebalik Deepavali berbeza dari tempat ke setempat, namun intipatinya tetap sama - untuk bergembira dalam Cahaya Dalaman (Atman) atau the realiti yang mendasari segalanya (Brahman).

Lima hari Deepavali

[sunting | sunting sumber]

Sambutan Deepavali diadakan selama lima hari di kebanyakan kawasan India Utara. Semua hari kecuali Deepavali dinamakan sempena gelaran masing-masing dalam kalendar Hindu.

  1. Dhanatrayodashi atau Dhan teras: Dhan bermaksud "kekayaan" dan Trayodashi bermaksud "hari ke-13". Maka, seperti yang ditandakan dalam nama, hari ini jatuh pada hari ke-13 separuh kedua bulan qamari. Hari ini adalah bertuah untuk membeli-belah perkakas dan emas. Hari ini juga dianggap sebagai Jayanti Dewa Dhanvantri yang muncul ketika dewa-dewi dan iblis-iblis menggodak lautan besar.[9]
  2. Naraka Chaturdashi: Chaturdashi ialah hari ke-14 yang menandakan Narakasura insaf, maka kebaikan menewaskan kejahatan dan cahaya mengatasi kegelapan (bahasa Gujarat: Kali Chaudas).
    Di India selatan, inilah hari perayaan yang sebenarnya. Orang Hindu bangun jauh lebih awal sebelum subuh seperti 4:00 pagi, bermandi minyak bijan dan memakai pakaian baru. Mereka menyala pelita kecil di keliling rumah dan melukis kolam/rangoli di luar kolam mereka. Mereka menjalankan puja istimewa dengan persembahan kepada Dewa Sri Krishna atau Dewa Sri Vishnu yang menyelamatkan dunia dari Narakasura pada hari ini. Adalah dipercayai bahawa bermandi sebelum matahari terbit, apabila bintang masih berkelipan di langit, bersamaan dengan bermandi di Sungai Ganges yang suci. Maka, apabila orang bertegur sapa pada waktu pagi, mereka bertanya "Sudahkah kamu menjalankan Ganga Snaanam?".
    Selepas puja, kanak-kanak menyalakan bunga api menandakan keinsafan Narakasura. Oleh sebab inilah hari kegembiraan, ramai akan bersarapan dan bermakan tengah hari secara besar-besaran dan menziarahi saudara mara. Pada waktu petang, pelita dinyalakan lagi dan Dewi Lakshmi dipuja dan disembah hidangan istimewa. Pada hari ketiadaan bulan ini, ramai akan melakukan upacara tarpana (penghantaran air dan biji bijan) istimewa kepada nenek moyang. Hari ini juga dipanggil Roop Chaturdashi Diarkibkan 2018-04-30 di Wayback Machine
  3. Lakshmi Pujae: Lakshmi Puja, menandakan hari terpenting dalam sambutan Deepavali, apabila Lakshmi, dewi kekayaan dan Ganesha, dewa permulaan bertuah, dipuja oleh semua rumahtangga Hindu, disusuli penyalaan lampu di sepanjang jalan dan keliling rumah, untuk mengundang kemakmuran dan kesejahteraan.
  4. Govardhan Puja: Juga dipanggil Annakut, hari ini disambut sebagai hari Krishna menewaskan Indra. Untuk Annakut setimbunan makanan dihiasi melambangkan gunung Govardhan diangkat Dewa Krishna. Di negeri Maharashtra hari ini disambut sebagai Padva atau BaliPratipada — iaitu memperingati Raja Bali. Kaum lelaki memberikan hadiah kepada isteri mereka pada hari ini.
  5. Bhaiduj (juga Bhayyaduj, Bhaubeej atau Bhayitika): pada hari ini, adik-beradik bertemu untuk meluahkan rasa kasih sayang antara satu sama lain (Bahasa Gujarati: Bhai Bij; Bahasa Bengali: Bhai Phota). Kebanyakan perayaan India menyatukan keluarga, maka Bhaiduj menyatukan adik-beradik yang sudah berkahwin, maka hari ini amat penting bagi mereka selaku adik-beradik. Perayaan ini amat lama, dan mendahului 'Raksha Bandhan', iaitu satu lagi perayaan adik-beradik yang disambut kini.

Sambutan Deepavali ini berbeza di rantau-rantau tertentu:

  • Di India Selatan, naraka chaturdashi ialah hari utama, dengan penyalaan mercun pada subuh.
  • Pesta utama di India Utara adalah pada petang Amavasya (tiada bulan) dengan Lakshmi Puja, disusuli penyalaan pelita di rumah.

Sambutan Deepavali di Malaysia

[sunting | sunting sumber]

Di Malaysia, hari Deepavali disambut pada bulan ketujuh kalendar suria Hindu dan dijadikan cuti umum persekutuan di seluruh Malaysia kerana terdapat kira-kira 1.5 juta penganut Hindu yang kebanyakannya berasal dari India Selatan.

Malam sebelum hari Deepavali merupakan hari untuk memperingati datuk,nenek dan moyang yang telah meninggal dunia dengan upacara sembahyang kecil di rumah di kalangan keluarga terdekat sahaja.
Pada pagi Deepavali, penganut Hindu akan mandi dengan menyapu minyak bijan di atas kepala dan badan untuk menyejukkan badan dan juga sebagai lambang penyucian badan dan semangat. Selepas upacara penyucian yang melambangkan permulaan yang baru, penganut Hindu akan sembahyang bersama keluarga di rumah serta mendapatkan restu ibu bapa dan orang tua sebelum memakai pakaian baru dan mengunjungi kuil. Kemudian barulah mereka mula mengunjungi rumah sanak-saudara dan rakan-rakan. Rumah terbuka juga diadakan untuk rakyat jelata.

"Kolam" asalnya dibuat daripada tepung beras yang tidak diwarnakan sebagai makanan untuk semut dan serangga lain kerana agama Hindu percaya bahawa Tuhan atau Atman wujud di dalam setiap ciptaan Tuhan di dunia ini. Maka, aspek mendalam ialah "kolam" merupakan cara termudah untuk memberi sedekah atau pun dilihat sebagai cara berkongsi sumber alam dengan benda hidup yang lain.

Pada pintu masuk rumah penganut Hindu hiasan "kolam", hiasan bungaan halus yang dilakarkan di atas tanah yang biasanya dibuat daripada bijiran pelbagai warna akan diletakkan. Hiasan "kolam" atau juga dikenali sebagai "Rangoli" ini bukan sekadar hiasan sahaja, tetapi memiliki maksud sosial, kerohanian, dan simbolik padanya. Ia merupakan lambang penyembahan dewa Lakshmi, Dewi Kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi rumah mereka yang mempunyai hiasan "kolam" di pintu masuk rumah mereka. [10], [11]

Melakar "Kolam" merupakan cara bagi wanita Tamil bagi berdoa pada Lakshmi, dewi kekayaan, kecantikan dan tuah dan merupakan upacara keagamaan bagi penganut Hindu[12].

  1. ^ Townsend, Charles M (March 2014). TheOxford Handbook of Sikh Studies. Oxford University Press. m/s. 440. ISBN 978-0-19-969930-8.
  2. ^ 2020 Hindu Festivals Calendar, Hindu Tyohar Calendar for Glen Gardner, New Jersey, United States
  3. ^ Monier Monier Williams (2008 updated, Harvard University), Sanskrit English dictionary, दीप, p. 481
  4. ^ "தீபம் - University of Madras Tamil Lexicon". Digital Dictionaries of South Asia. Universiti Chicago. Dicapai pada 20 Ogos 2020.
  5. ^ Monier Monier Williams (2008 updated, Harvard University), Sanskrit English dictionary, आवलि, p. 155 Diarkibkan 2019-03-27 di Wayback Machine
  6. ^ "ஆவளி - University of Madras Tamil Lexicon". Digital Dictionaries of South Asia. Universiti Chicago. Dicapai pada 20 Ogos 2020.
  7. ^ James G. Lochtefeld 2002, halaman 200–201
  8. ^ Jessica Frazier & Gavin Flood 2011, m/s. 255.
  9. ^ Dhanvantri Jayanti[pautan mati kekal]
  10. ^ Sacred Custodians of the Earth?: Women, Spirituality and the Environment, by permission of Berghahn Books. Copyright. edited by Alaine M. Low, Soraya Tremayne
  11. ^ Women's Lives, Women's Rituals in the Hindu Tradition, displayed by permission of Oxford University Press. Copyright. edited by Director of the Asian Studies Program Loyola University of Chicago Tracy Pintchman Associate Professor of Hindu Studies and Religious Studies
  12. ^ Women's Lives, Women's Rituals in the Hindu Tradition.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]